PKR Perak dijangka adakan pemilihan hujung Oktober
PEMILIHAN PKR | Pemilihan PKR negeri Perak yang ditangguhkan sebelum ini dijangka diadakan akhir Oktober, kata Timbalan Pengerusi PKR Perak, Dr Lee Boon Chye.
Dr Lee yang juga Anggota Parlimen Gopeng berkata ketika ini PKR negeri-negeri termasuk Perak akan memberikan tumpuan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson yang ditandingi Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Setakat ini negeri Perak belum tetapkan tarikh (pemilihan), tumpuan kita sekarang adalah PRK Port Dickson dan penamaan telah selesai hari ini. Kita jangka kemungkinan besar akhir bulan Oktober untuk pemilihan PKR Perak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Farmasi Sedunia 2018 Perak di Ipoh hari ini.
Pemilihan PKR Perak sepatutnya diadakan pada 23 Sept lalu, namun ditangguhkan ke satu tempoh susulan beberapa masalah yang terjadi semasa pemilihan di Kedah dan Pulau Pinang sehari sebelum itu.
Pada pemilihan kali ini, PKR Perak yang mempunyai 24 cabang menyaksikan 54 calon merebut jawatan ketua cabang manakala 1,183 lagi menawarkan diri bertanding pelbagai jawatan lain di peringkat cabang.
Yakin Anwar menang di PD
Lee yang juga Naib Presiden PKR berkata walaupun PRK Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru, parti itu yakin calon Anwar mampu menang.
Terdahulu, dalam ucapannya Lee yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata ahli farmasi kini mencecah seramai 16,210 orang dan jumlah itu disasarkan meningkat ke 22,100 orang pada 2020.
Katanya bidang farmasi adalah sangat dinamik yang mana teknologi dan ubat-ubatan baharu akan terus dicipta dan dipasarkan.
“Ahli farmasi perlu sentiasa peka dengan perubahan serta terus berusaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kepakaran dalam setiap bidang perkhidmatan yang diberikan supaya ia mempunyai nilai tambahan kepada masyarakat,” katanya.
- Bernama

