Anggota MT sebak kenang sumbangan Wanita Umno
PAU 2018 | Seringkali dianggap 'tulang belakang' Umno, sayap Wanita parti itu sentiasa dikenang sebagai jentera utama peringkat akar umbi terutama ketika kempen pilihan raya.
Maka tidak janggal jika mengatakan sayap itu memainkan peranan besar mengekalkan kemenangan Umno pada setiap kali pilihan raya umum, sehinggalah pada PRU lalu.
Hari ini, di perhimpunan agung Umno pertama sebagai pembangkang, anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno datuk Alwi Che Ahmad tidak dapat menahan sebak ketika berucap dalam sesi penutup persidangan sayap itu.
"Kekuatan kita ada pada Wanita. Wanitalah tempat kita bergantung, sekaran orang zalimi kita, orang hina Melayu," katanya dengan suara tersekat-sekat.
Beliau mengakui tanpa Wanita Umno, parti Melayu itu akan "pupus".
"Inilah hakikat yang kita hadapi, sebab itu daripada sayap ia menjadi tulang belakang, dan selepas ini mungkin sebagai badan kepada Umno sendiri," katanya lagi.

Alwi yang juga ADUN Kok Lanas mengimbau pengorbanan ibunya yang bersusah-payah membesarkan keluarga sebagai teladan kepada perwakilan untuk meneruskan perjuangan Umno terutama di saat mencabar kini.
"Ibu saya seorang guru Al-Quran. Duit taka da tetapi dengan mengajar mengaji dia dapat hadiah RM35. Kerana wang RM35 itulah berdirinya seorang Alwi di PWTC ini.
"Jadi usahlah meratapi kekalahan. Ibu-ibu sekalian jaga diri, anak-anak dan masyarakat agar masyarakat terus bersama kita.
Masih dalam keadaan sebak, Alwi menutup ucapannya dengan sepotong doa untuk kejayaan Umno, yang turut menumpahkan air mata para perwakilan yang mengaminkan doa itu.

