PRK PD | Selepas selesai proses pencalonan hari ini, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus berkempen di kawasan dewan undangan negeri (DUN) yang dikuasai BN untuk malam pertama siri ceramahnya.

Meskipun PKR memenangi kerusi parlimen Port Dickson dengan selesa pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu, mereka kehilangan dua daripada lima kerusi DUN kepada BN iaitu Linggi dan Bagan Pinang. Tiga kerusi lain adalah Chuah (PKR), Lukut (DAP) dan Sri Tanjung (PKR).

Berdasarkan jadual Anwar, beliau dijangka mengadakan dua ceramah malam ini, masing-masing di Linggi dan Bagan Pinang.

Meskipun BN tidak bertanding pada PRu yang lalu, ahli politik veteran tempatan Umno Tan Sri Mohd Isa Samad Akan mencabar Anwar sebagai calon bebas.

Mohd Isa pernah menjadi ADUN Linggi dari 1978 hingga 2004 selain pernah menjadi menteri besar Negeri Sembilan selama 22 tahun.

Isa Samad juga bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) bagan Pinang yang menyaksikan beliau menang besar.

Ceramah Anwar di Pasir Panjang, Linggi akan menampilkan pemimpin PKR dan DAP termasuk tiga ADUN Pakatan Harapan (HARAPAN), iaitu ADUN Chuah, Yek Diew Ching; ADUN Sri tanjung, M Ravi; dan ADUN Lukut Choo Ken Hwa.

Isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga merupakan timbalan perdana menteri turut akan hadir.

Sementara itu, ceramah di Bagan Pinang pula akan menampilkan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Anggota Parlimen Kuala Pilah Eddin Syazlee Shith.

Menteri Besar Negeri Sembilan juga dijangka akan hadir di kedua-dua ceramah berkenaan.

PRK Port Dickson akan menyaksikan pertembungan tujuh penjuru.

Lima calon lain adalah calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar dan calon-calon bebas iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan, Chan Keng Leong, Kan Chee Yuen dan Lau Seck Yan.

Hari pengundian akan diadakan pada 13 Okt.