Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2018 malam ini menegaskan bahawa parti itu tidak akan membuka keanggotaan untuk kaum lain.

Sebaliknya, kata Zahid, pendekatan lama seperti yang digunakan dalam Perikatan dan BN sebelum ini akan terus digunakan.

Zahid berkata demikian ketika terdapat beberapa pihak dalam Umno mencadangkan agar parti itu mempertimbangkan untuk membuka keanggotaan kepada kaum lain selain Melayu.

"Umno tidak perlu membuka keahliannya kepada kaum-kaum lain untuk kekal relevan.

"Masyarakat Malaysia sejak dari dahulu sehingga sekarang, tinggal di dalam kelompok dan komuniti masing-masing, dan ia masih kekal begitu," katanya.

Namun, jelas Zahid, ia tidak bererti Umno parti perkauman, berat-sebelah, prejudis, menjadi ancaman atau mengambil hak kaum lain.

"Malah, kita telah membuktikan bahawa kita sentiasa bertindak di atas the Malay wisdom atau ‘bijaksana Melayu’, dan meletakkan prinsip al-adlu wal-ihsan (adil dan ihsan) sebagai ‘kompas moral’ dalam setiap tindakan," katanya.

Sebaliknya, tambah Zahid, orang Melayu hari ini yang terdedah dengan sikap berat sebelah, prejudi bangsa lain.

"Orang Melayu dituduh bodoh dan kononnya pemalas, terlalu bergantung kepada subsidi dan bantuan kerajaan.

"Lebih menyedihkan lagi, apabila bangsa kita disebut sebagai bangsa pengemis, dan amat menghairankan mereka yang berada dalam saf kepimpinan kerajaan hari ini, rela bangsanya dihina sebegitu," katanya.

[Baca berita penuh]