Lompat parti: Umno bertindak tegas atas prinsip moral - Najib
PAU 2018 | Tindakan tegas ke atas wakil rakyat yang bertindak meninggalkan parti dilihat sebagai sesuatu yang perlu dilakukan berdasarkan prinsip moral, kata bekas presiden Umno Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, ini kerana setiap kemenangan yang diperolehi seseorang itu dipilih atas tiket Umno-BN dan memenanginya.
“Kita melihat bahawa ada sesuatu yang perlu dilakukan dari segi prinsip moral sebab seseorang (wakil rakyat) itu dipilih dan dimenangi atas tiket Umno-BN.
“Dan masa bertanding wakil rakyat tersebut diberi segala bantuan (peruntukan), sokongan dari ahli Umno sehingga mereka berjaya menjadi anggota parlimen,” katanya kepada pemberita selepas mendengar ucapan dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.
Najib berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan tegas kepimpinan tertinggi Umno dalam usaha menangani wakil rakyat yang bertindak meninggalkan parti selepas PRU ke-14.
Pemuda dan Wanita serta Puteri Umno semalam sepakat menggesa kepimpinan tertinggi parti itu berbuat sesuatu berhubung isu sejumlah pemimpin yang meninggalkan parti bagi menghalang lebih ramai lagi pemimpin untuk berbuat demikian seterusnya mengurangkan kerusi parlimen yang dipegang Umno.
Moraliti dan rujukan perundangan
Ekoran daripada itu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya di Dewan Merdeka, PWTC malam tadi menegaskan Umno mengambil tindakan menyaman wakil rakyatnya yang meninggalkan parti, selain menuntut mereka mengosongkan kerusi dan membayar balik kos sepanjang kempen PRU14.
Zahid juga berkata wakil rakyat Umno akan diminta menandatangani aku janji bagi mengelakkan tindakan lompat parti.
Mengulas lanjut, Najib yang juga Ketua Umno Bahagian Pekan bagaimanapun berkata ia tetap perlu dirujuk dari aspek perundangan.
“Ini prinsip moraliti dalam politik, sama ada kita boleh paksa atau tidak kita kena tengok dari aspek perundangan.
“Namun mereka perlu merujuk kepada parti berhubung keputusan yang dibuat dan tawarkan diri apa-apa keputusan terbaik yang boleh diambil sama ada mengadakan pilihan raya kecil atau keputusan lain,” katanya.

Sementara itu, veteran Umno,Tengku Razaleigh Hamzah berkata bukan mudah untuk melaksanakan apa yang diperkatakan presiden Umno itu.
Kata Tengku Razaleigh, sukar buat parti itu melaksanakan undang-undang bagi mengikat wakil rakyat daripada meninggalkan parti.
Menurutnya, Umno tidak ada kuasa sepenuhnya terhadap seseorang wakil rakyat kerana mereka bukan berkhidmat untuk parti tapi rakyat.
“Saya tidak tahu dari segi undang-undang boleh buat ke tidak boleh buat sebab Pulau Pinang, Sabah sudah buat (sebelum ini) nampak bukan mudah kerana ia bukan sahaja berkaitan dengan soal undang-undang yang boleh mewajibkan seseorang yang dipilih menjadi wakil rakyat.
“Ia ada kaitan dengan hak seseorang itu sendiri jadi mereka (wakil rakyat) telah menawar khidmat kepada rakyat bukan kepada parti. Cuma parti yang memilih orang itu menjadi calon dan sokongan bukan sahaja dari parti tetapi dari pengundi yang tidak menjadi ahli parti atau menyokong perjuangan parti,
“Saya tidak mendalami perkara itu, tapi mengikut apa yang pernah Sabah dan Pulau Pinang lakukan sebelum ini, usaha mengikat mereka (wakil rakyat)tidak berjaya,”katanya.
Tengku Razaleigh yang turut dikenali sebagai Ku Li berkata, Umno akan berdepan pelbagai masalah jika mahu mendisiplinkan wakil rakyat dengan mengikat wakil rakyat dengan tindakan undang-undang sebegitu.
“Jadi, jika kita mahu mendisiplinkan orang dengan cara sebegitu, kita akan berdepan dengan banyak masalah, masalah hak peribadi, hak pengundi. Mungkin wakil rakyat tidak sehaluan dengan perjuangan yang dibawa parti,”katanya.
Tiada yang mustahil
Bagaimanapun Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata tidak ada apa yang mustahil dalam menjayakan apa yang dinyatakan Ahmad Zahid itu.
“Kita tak boleh kata mustahil, kadang-kadang mahkamah ini keputusan dia boleh bermacam-macam, tapi sekurang-kurangnya bila kita buat begitu menjadi satu pencegahan (kepada wakil rakyat yang mahu meninggalkan parti),” katanya.
Bagaimanapun Mohamad mengakui dari sudut hak asasi ia tidak boleh dibuat.
“Tetapi mengikut hak asasi manusia memang kita tak boleh (buat) begitu tapi sekurang-kurangnya (kita bertindak).
“Tapi semua parti buat perkara itu, PKR pun buat, PAS lagi buat sehingga talak tiga kalau lompat parti. Jadi kita buat sebagai langkah pencegahan sahaja supaya deterrent,” tambahnya.
Sejak PRU ke-14, sebanyak lima anggota parlimen dan 13 ADUN telah meninggalkan parti itu. Terbaru bekas menteri Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Tan Sri Anifah Aman kira-kira seminggu lalu.

