Ucapan sulung Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno 2018 mendapat pujian daripada Datuk Seri Najib Razak.

Bekas presiden Umno itu berkata ucapan perasmian Ahmad Zahid itu menggariskan langkah-langkah positif kepada ahli Umno untuk terus melangkah ke hadapan.

“Saya lihat ucapan dia (Zahid) merangkumi bukan sahaja aspek dalaman tetapi juga kedudukan negara terutama janji-janji yang telah diluahkan HARAPAN hari ini amat mengecewakan.

“Dan prinsip-prinsip tertentu seperti yang tidak menepati undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas mendengar ucapan dasar presiden di Dewan Merdeka, PWTC, malam tadi.

Mengulas lanjut, Najib yang juga Ketua Bahagian Umno Pekan berkata beliau berharap ucapan Zahid itu dapat dijadikan ikhtibar kepada anggota partinya itu.

“Saya harap ucapan Ahmad Zahid akan menjadi ikhtibar dan merangsang ahli Umno untuk terus berjuang, sebab kita memerlukan komitmen dan kesetiaan dan yakinlah bahawa perjuangan Umno itu adalah lebih besar dari apa-apa yang kita fkirkan untuk diri kita.

“Dan ini satu sebuah perjuangan yang sungguh bernilai, yang amat diperlukan bukan sahaja diteruskan tetapi diperkasakan lagi perjuangan Umno itu sendiri,” tambahnya.

Ini adalah perhimpunan agung Umno pertama yang dihadiri Najib sejak meletak jawatan sebagai presiden tiga hari selepas parti itu kehilangan kuasa pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.