Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR Johor pilih pemimpin pusat, cabang hari ini
Diterbitkan:  Sep 30, 2018 10:59 AM
Dikemaskini: 3:02 AM

PEMILIHAN PKR | Proses pemilihan PKR di Johor yang menyaksikan 38,684 anggota parti disahkan layak mengundi, berlangsung hari ini bagi memilih kepimpinan di peringkat pusat dan cabang di negeri ini.

Ia melibatkan 24 cabang tempat mengundi bermula 10 pagi iaitu cabang Segamat, Sekijang, Labis, Pagoh, Ledang, Bakri, Muar, Parit Sulong, Ayer Hitam, Sri Gading, Batu Pahat, Simpang Renggam, Kluang, Sembrong, Tenggara, Kota Tinggi, Pengerang, Tebrau, Pasir Gudang, Johor Bahru, Pulai, Gelang Patah, Kulai dan Pontian.

Proses menggunakan sistem undian secara digital, e-voting itu akan berlangsung sehingga 5 petang ini.

Pada pemilihan kali ini, 53 calon akan merebut jawatan ketua cabang manakala 163 calon menawarkan diri untuk jawatan timbalan ketua cabang, naib ketua cabang dan anggota jawatankuasa cabang.

Antara pertandingan yang menjadi perhatian ialah Anggota Parlimen Johor Bahru Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat menentang Dr Afif Bahardin dan Najwan Halimi.

Akmal juga bertanding Ketua Cabang Johor Bahru menentang Richard Tan.

Exco negeri tanding kepimpinan pusat

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar yang juga Setiausaha PKR Johor, bertanding jawatan Anggota Majlis Kepimpinan Pusat menentang 87 calon lain.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon, yang juga Pengerusi Biro Politik PKR, akan menentang penyandang Ketua Cabang Batu Pahat Malik Faishal Ahmad untuk jawatan ketua cabang itu.

Selain itu, Timbalan Pengerusi PKR Johor Jimmy Puah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa, Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, akan bertanding jawatan ketua cabang Pulai dan akan ditentang A.Sivagami Devi.

Di Ledang pula, pertembungan juga dilihat menarik kerana satu-satunya cabang memperlihatkan perebutan jawatan ketua cabang antara ADUN dan Anggota Parlimen iaitu ADUN Pemanis Dr Chong Fat Full dan Anggota Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh.

- Bernama

Lihat Komen
ADS