Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN |  Tiba-tiba muncul ilham menulis serangkap pantun dalam kepala, sesudah saya menyiapkan laporan berita penting mengenai kesanggupan PAS berdepan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, 13 Oktober depan.

"Dari Terengganu ke Negeri Sembilan,
keropok Losong jangan dilupa,
kalau hati tuan tiada pilihan,
hamba turutkan walau terpaksa."

Seperti kita sedia maklum perkara itu diumum Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Rusila, Marang selepas kepimpinan tertinggi parti itu bermesyuarat, Rabu lepas.

Sayugia diingatkan, keputusan untuk PAS bertanding di PRK yang disifatkan sebagai membazir itu sebenarnya sudah dibuat lebih awal, iaitu pada satu sidang media Muktamar ke-64 yang baru saja berlalu pertengah bulan ini di Kuala Terengganu.

Abdul Hadi tegaskan betapa Anwar tidak boleh diberikan kemenangan secara percuma. Jika Umno atau BN tidak melawan, PAS akan ambil bahagian. Demikian keputusan dibuat ketika itu beliau menjawab pertanyaan media.

Rasmi, sah lagi sahih

Cumanya malam Rabu lalu, anggota parlimen Marang itu membuat keputusan rasmi, sah lagi sahih bagi pihak PAS yang diketuainya.

Justeru, dari Kuala Terengganu, Marang dan akan diselesaikan di Port Dickson nanti. Ada yang terkejut, ada yang menyindir, ada yang bangga dan pastinya ada keterujaan. Itu fenomena biasa dalam konteks politik.

Selain keberadaan PAS, PRK Port Dickson juga mencuri perhatian terhadap kelibat calon bebas khususnya Tan Sri Isa Samad dan seteru utama Anwar iaitu Saiful Azlan Bukhari.

Penyertaan PAS kali ini pada hemat saya membuktikan betapa parti itu berpegang pada kata-kata, walaupun sebelumnya ada riak-riak memperlihatkan mustahil PAS berani lawan Anwar.

Dan itulah ujian untuk langkah Anwar sendiri, selain niat PAS menguji kepercayaan rakyat pada mereka lagi, lagi dan lagi.

Berbeza dengan PRK Seri Setia, kedudukan PAS di Port Dickson sekali lagi dalam bentuk bersendirian seperti mana pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lalu. Kalau ada pun hanya bantuan daripada rakan-rakan kecil dalam Gagasan Sejahtera.

Selepas PAS juga umumkan siapa calon mereka, pastinya kem Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak boleh ambil mudah dengan kewibawaan calon lawan mereka itu.

Mahu atau tidak, kata-kata keramat 'lawan tetap lawan' akan jadi penguat semangat untuk Anwar berdepan PAS.

Kita ketepikan soal calon, sebaliknya saya melihat betapa besar potensi PAS untuk menarik pengaruh undi berbanding wakil parti kerajaan persekutuan.

PAS sebagai pembangkang mempunyai banyak peluru untuk disasarkan kepada musuh. Isu dan perkembangan semasa pentadbiran HARAPAN dilihat menjadi bekal untuk PAS berkempen.

Seperti kata Abdul Hadi, tidak mustahil PAS akan menang. PAS pastinya akan menggerakkan seluruh jentera dari segenap inci tanah air. Pasti ramai yang bersemangat mahu turun ke medan juang. Berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk menentang seorang individu yang sengaja mengada-adakan PRK itu.

PAS sepanjang tempoh berkempen nanti akan memberitahu pengundi di pusat peranginan itu betapa haru-birunya kerajaan persekutuan sekarang.

Isu arak beracun, maahad tahfiz, ustaz didakwa peliwat, menteri kewangan dibebaskan daripada dakwaan rasuah, negara kehilangan kerajaan lebih baik, PTPTN dan isu cukai akan menjadi senjata untuk PAS bersilat sekali gus menawan hati pengundi.

Kalau melihat hal-hal itu, hampir pasti Anwar sukar untuk menang. Seperti kata Abdul Hadi, tidak mustahil PAS akan menang.

Selain itu, PAS juga bertuah selepas lawan mereka menegaskan tidak akan menggunakan kemudahan sebagai kerajaan pusat untuk membantu kempen mereka.

Umno boikot

Anwar sendiri menegaskan bahawa segala kemudahan kerajaan tidak dibenarkan membantu kempennya, tidak perlu umum projek atau peruntukan tertentu sepanjang kempen.

Bayangkan kalau parti kerajaan terdahulu yang pemimpin PAS kata lebih baik daripada pemerintah sekarang berada dalam situasi sekarang, pastinya segala agensi kerajaan akan berkampung di Port Dickson.

Seterusnya kita melihat kepada tindakan BN atau Umno yang memboikot PRK itu, ia juga menguntungkan PAS. Tohmahan bahawa PAS akan bekerjasama dengan Umno mulai surut, mungkin untuk seketika waktu pun tidak mengapalah.

Di sisi lain, tanpa bayangan pimpinan Umno di pusat peranginan itu (kalau ada pun mungkin pergi mandi laut saja) beban PAS juga berkurang.

Jika BN atau Umno turut serta, HARAPAN pastinya turut menghalakan peluru kepada parti yang tersungkur dalam PRU14 lalu itu dan PAS akan terkena tempiasnya.

PAS king maker di PD?

Kali ini PAS turun ke Port Dickson sebagai PAS yang sebenar. PAS yang kuat bila bersendirian. Dengan kelebihan-kelebihannya.

Saya sengaja untuk tidak menulis tentang kelebihan yang berpihak Anwar, biarlah PAS saja yang nampak banyak kelebihan dan tidak mustahil akan menang.

Dengan pertandingan tujuh penjuru, mungkin PAS (jika mahu) boleh dianggap sebagai 'king maker', pengundi Umno di kawasan itu dilihat akan memberi sokongan kepada penyokong mereka.

Bagaimana PAS dapat menjadi king maker (jika mahu) itu boleh bergantung kepada perkiraan kebijaksanaan politik kepimpinan mereka sendiri.

Undian akan terpecah kepada tujuh arah. Walaupun penganalisis menjangkakan bahawa undi pembangkang akan pecah, undi kepada PAS dilihat akan solid berbanding calon pembangkang lain dan ada harapan bertambah.

Jadi benarlah, tidak mustahil PAS akan menang. Itu belum kita ambil kira pengaruh calon PAS, Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar yang dilihat berwibawa untuk mempengaruhi pengundi di kalangan tentera bagi kawasan itu.

Isu Mohd Nazari calon daripada luar tidak berbangkit kerana calon lain juga banyak dari luar termasuk Anwar sendiri. Isu calon PAS itu tewas teruk di DUN Panti pada PRU14 juga tidak berbangkit.

Dan dengan keyakinan tidak mustahil boleh menang, PAS tidak apa-apa jika kalah. PRK Port Dickson juga sudah ditegaskan sebagai salah satu latihan buat mereka.

Atau selebihnya boleh bersahabat dengan pantai, pasir, ombak dan hal-hal yang belum selesai.


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen
ADS