PAU 2018 | Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau tidak ada masalah dengan kewujudan warlord atau panglima politik yang "baik" dan boleh memenangi hati rakyat.

Mohamad berkata demikian sebagai mengulas ucapan bekas speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia di Perhimpunan Agung Umno 2018 hari ini.

"Dia (Pandikar) kata ada satu dua warlord (panglima politik) tersebut, kalau boleh menang, atau warlord yang baik, kenapa tidak?

"Macam bila kita bercakap tentang insinerator, semua orang takut. Tapi insinerator adalah sebahagian daripada masyarakat kita hari ini, bukan? Insinerator yang tak mendatangkan masalah kepada rakyat. Di Jepun dan Jerman, banyak insinerator.

"Jadi bila kita dengar pasal warlord, jangan tengok yang buruk saja, ada warlord yang baik, yang buat kerja baik, yang menjaga masyarakat, yang mengambil tahu masalah rakyat. Itu yang disebut Pandikar tadi," katanya ketika ditemui di luar Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, semasa sesi debat, Pandikar berkata warlord atau panglima politik adalah nama yang diberikan kepada veteran parti, namun menambah bahawa istilah itu mempunyai konotasi negatif.

"Warlord ini gelaran yang diberikan kepada orang lama. Warlord disinonim dgn 'panglima perang'.

"Seolah-olah orang lama dalam politik jahat-jahat belaka. Pemikiran feudal. Tidak ada komunikasi dua hala. Pendapat dia saja betul. Tapi isu ini tak kronik dan serius," katanya.