Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas menteri Umno: Melayu percayakan Najib selagi dia masih bebas

PAU 2018 | Datuk Seri Najib Razak dikatakan menjadi punca utama kepada tumbangnya BN pada PRU lalu dan antara mereka yang memperkatakan perkara itu adalah beberapa pemimpin BN sendiri.

Namun - agak mengejutkan - apabila beliau menerima sambutan hangat, bukannya teguran, ketika Perhimpunan Agung Umno 2018 yang berlangsung sejak dua hari lalu.

Malah hadirin berdiri memberi tepukan penghormatan ketika nama bekas perdana menteri itu disebut speaker Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Ia sama sekali berbeza ketika Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa berkata parti itu tidak boleh lagi membuang masa mempertahankan Najib.

Mengulas perubaan mood itu, seorang anggota Majlis Tertinggi Umno berkata orang Melayu dan anggota parti itu sememangnya percaya dengan prinsip "tidak bersalah sebelum dibuktikan bersalah".

"Orang Melayu sangat straightforward, mereka tidak begitu faham isu-isu rumit seperti 1MDB dan derma RM2.6 bilion, apatah lagi apabila pemimpin (yang dikaitkan dengan skandal itu) masih bebas.

"Dia terus menjustifikasikan kepada rakyat yang dia tidak bersalah, bahawa dia menjadi mangsa politik. Orang Melayu sentiasa percaya bahawa 'tidak bersalah sebelum dibuktikan bersalah'," dakwanya - yang meminta namanya tidak didedahkan - kepada Malaysiakini.

Beliau berkata perkara sama berlaku dalam kes liwat pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kebanyakan orang Melayu tak percaya Dr Mahathir pada masa itu. Mereka mengambil masa bertahun-tahun untuk baru percaya (tuduhan itu)," katanya lagi.

Justeru, katanya lagi, amat penting untuk kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) membuktikan Najib memang bersalah.

"Politik tentang memenangi persepsi rakyat, ia bukan tentang yang benar atau yang salah," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS