Tun Faisal kecam pemimpin Umno kritik ucapan Zahid di PAU
PAU 2018 | Bekas pengarah bahagian komunikasi strategik Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Tun Faisal Ismail Aziz membidas pemimpin Umno yang mengkritik hala tuju Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bercakap sebagai perwakilan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Perhimpunan Agung Umno 2018 hari ini, bidasan Tun Faisal itu ditujukan kepada pemimpin seumpamanya yang mengkritik namun tidak hadir menyertai pemukiman yang diadakan untuk merumuskan hala tuju parti sebelum ini.
Tun Faisal berkata, pemukiman berkenaan melibatkan pemimpin tertinggi dan bahagian Umno dari seluruh negara.
"Saya tak boleh terima apabila yang mengkritik hala tuju presiden adalah dari kalangan yang tidak hadir (pemukiman) dan memberikan pandangan.
"Apabila pemimpin bahagian, anggota parlimen berkenaan tidak hadir tapi mempersoalkan hal tuju parti melalui media, ia adalah satu malah. Saya tak setuju dengan tindakan seperti itu," katanya.
Tun Faisal tidak menyebutkan nama pemimpin Umno atau anggota parlimen yang dimaksudkannya.
Bagaimanapun, antara yang mengkritik ucapan dasar Zahid semalam sebagai "tiada hala tuju" adalah Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin dan Ketua Umno Kluang Md Jais Sarday.
Tambah Tun Faisal lagi, dalam pemukiman berkenaan, Umno telah memberikan tiga langkah untuk bergerak ke hadapan, iaitu menjadi pembangkang yangg berwibawa dan berkesan; memperkasakan parti dengan kembali kepada perjuangan asal Umno; serta melakukan permuafakatan politik.
Jelasnya, ramai anggota parti yang tidak memahami langkah berkenaan dan memerlukan taklimat lanjut daripada kepimpinan, namun ia boleh diterima.
Zahid semalam dalam ucapannya menyenaraikan 21 langkah dalam visinya untuk hala tuju Umno di masa depan.
Khairy bagaimanapun berkata, ucapan Zahid itu tidak jelas menyatakan sama ada Umno mahu mencadangkan kerajaan perpaduan dengan PAS atau parti komonen Pakatan Harapan.
Pemimpin lain seperti Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mempertahankan Zahid dan menyifatan Khairy sebagai "tidak mendengar dengan teliti ucapan presiden Umno."

