Paling Popular
Terkini

PAU 2018 | Umno menafikan penundaan beberapa siaran perbahasan perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno 2018 bertujuan menyekat atau menapis perbahasan beberapa perwakilan.

Ketua Penerangan Umno Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata siaran berkenaan ditunda agar penyebaran maklumat berhubung perbahasan itu lebih tersusun.

"Tapi media masih lagi boleh mendapatkan maklumat dan boleh wawancara perwakilan (yang terlibat dengan perbahasan)," katanya ketika membuat kunjungan ke sudut media yang membuat liputan perhimpunan berkenaan di Kuala Lumpur.

PAU kali ini yang diadakan 28 Sept hingga 30 Sept merupakan perhimpunan pertama selepas BN hilang kuasa di peringkat pusat pada pilihan raya umum (PRU) 9 Mei lalu.

Parti terbesar pembangkang itu bagaimanapun membenarkan media masuk dalam dewan perhimpunan ketika acara pembukaan untuk ucapan dasar ketua sayap Umno masing-masing dari Pemuda, Wanita, dan Puteri.

Bagaimanapun, petugas media diarahkan keluar dari dewan ketika sesi perbahasan dimulakan.

Pada PAU sebelum ini, media arus perdana bukan saja dibenarkan masuk dalam dewan, mereka juga boleh menyewa fon telinga untuk mendengar perbahasan.

Sementara media lain, termasuk Malaysiakini sebelum ini tidak dibenarkan membuat liputan terpaksa memetik berita dari media perdana.

Tahun ini, Malaysiakini dibenarkan membuat liputan perhimpunan berkenaan. Tiga skrin televisyen dipasang di pusat media agar petugas media dapat membuat liputan perbahasan dan penggulungan.

Bagaimanapun, skrin berkenaan kebanyakannya hanya menyiarkan siaran yang telah ditunda selama 30 minit hingga sejam.

Malah, kadang-kadang ia menyiarkan ulangan ucapan yang dibuat sehari sebelumnya, yang mengesahkan bahawa beberapa perbahasan perwakilan tidak disiarkan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS