PAU 2018 | Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada pengkritiknya dalam parti itu agar tidak melampaui batas dalam menyatakan pandangan.

“Saya amat terbuka tetapi bila diasak ke dinding, keterbukaan saya ada hadnya.

"Ini Zahid Hamidi, saya letak noktah di situ, mereka tahu DNA saya dalam perjuangan macam mana. Saya tidak mahu dilihat warna sebenar, jika ada harimau dan singa dalam hati saya, yang keluar kambing.

"Jika ada di kalangan kita yang tebuk kapal dari dalam, itu bukan perbezaan pandangan, itu khianat kepada parti," katanya dalam Perhimpunan Agung Umno ke-72 hari ini.

Ucapan dasar Zahid semalam dikritik sesetengah pihak termasuk oleh bekas ketua pemuda Khairy Jamaluddin yang menyifatkannya sebagai tidak membentangkan hala tuju parti secara jelas.

Zahid berkata beliau dan pemimpin lain telah diberi mandat untuk memimpin parti.

Justeru beliau berkata mereka yang merasakan Umno tiada hala tuju perlu menghormati dan memberi kepercayaan kepada orang yang diberi mandat untuk melaksanakan dasar-dasar parti.

Dalam sidang media kemudian, Zahid berkata kenyataan itu dibuat secara umum dan tidak ditujukan kepada mana-mana individu.

Beliau juga berkata anggota yang mengkritik parti tidak akan dibuang.

"Saya setuju dengan timbalan presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) bahawa tiada tindakan diambil. Saya cuma minta mereka agar berhenti bantah (secara terbuka)," katanya lagi.

Beliau juga mengulang sekali lagi ucapannya bahasa isu dalaman tidak harus disuarakan secara terbuka dan pintunya sentiasa terbuka jika ada perkara atau bantahan yang perlu dibangkitkan.

Pada ucapannya sebelum itu, Zahid juga memberi amaran kepada anggota berkenaan rundingan pintu belakang untuk melakukan sabotaj melalui lompat parti.