Menteri Komunkasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh menyorot keperluan mewujudkan undang-undang mengawal ucapan berbaur kebencian seperti yang dibuat oleh penulis blog Raja Petra Kamaruddin.

Gobind merujuk kenyataan Raja Petra yang dilihat "memperlekeh" masyarakat Sikh apabila mengulas tentang serban Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh.

"Kita tidak boleh membiarkan kenyataan (Raja Petra) seperti itu. Ini adalah contoh kenapa kita perlu menggesa undang-undang yang mengawal ucapan berbaur kebencian.

"Undang-undang ini perlu lebih efektif dan berkesan dari segi penguatkuasaan individu yang melakukan kesalahan itu dari luar negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Penulis blog warga tempatan yang tinggal di United Kingdom itu, melalui tulisan di blognya menyifatkannya serban yang dipakai Amar sebagai "terlalu ketat sehingga menghalang peredaran darah ke otaknya".

Tulisan Raja Petra itu sebagai membalas kenyataan Amar yang mencabar beliau membuat laporan polis berhubung tuduhan bahawa polis mencuri RM43.3 juta ketika menyerbu kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Pavilion Residences di Kuala Lumpur.

Amar yang menerajui siasatan polis berhubung 1MDB kemudian mengecam kenyataan Raja Petra itu dan menyifatkannya "merendah-rendahkan dan bersifat perkauman" terhadap masyarakat Sikh yang memakai serban.

Mengulas lanjut, Gobind menegaskan bahawa tindakan Raja Petra itu perlu dikecam.

"Ia merupakan 'serangan' yang tidak seharusnya dibuat ke atas Amar dan masyarakat Sikh. Tindakan Raja Petra itu perlu dikecam.

"Ia menghina nilai asas yang dipegang rakyat Malaysia, iaitu saling menghormati antara satu-sama lain. Kita adalah masyarakat pelbagai kaum dan agama," katanya.