Bung Moktar: KJ kritik Umno kerana sayangkan parti
PAU 2108 | Anggota Majlis Tertinggi Umno Bung Moktar Radin menganggap kritikan Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin terhadap parti itu adalah kerana "sayangkan Umno".
Jelas anggota parlimen Kinabatangan itu, Khairy mempunyai hak sebagai anggota parti untuk mengkritik dan pandangannya perlu diberi perhatian.
"Pandangannya adalah pandangannya sendiri. Ia perlu diambil perhatian walaupun sebahagian perwakilan menganggap sinis tentang komen Khairy.
"Pada saya ia harus diambil perhatian, sebab Umno kena buka ruang untuk orang kritik. Kita tidak boleh tidak menerima kritikan daripada mana-mana ahli kerana Khairy juga ahli parti.
"Dan saya rasa dia pun berhak untuk kritik asalkan tidak memecahbelahkan parti. Saya percaya dia kritik sebab dia sayang Umno," kata Bung Moktar kepada pemberita selepas sesi penutup Perhimpunan Agung Umno 2018 yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.
Bung Moktar turut sempat menegaskan bahawa anggota Umno yang mengkritik parti tidak semestinya tidak setia.
Guna media serang pemimpin
Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Khairy agar tidak "menyerang" presiden Umno secara terbuka.
Sebaliknya, kata Ismail, bekas menteri belia dan sukan itu perlulah menggunakan saluran yang disediakan untuk menyatakan rasa tidak puas hati.

"Apabila dasar telah ditentukan, walaupun kita secara peribadi tak setuju, kita kena ada semangat berpasukan.
"Kita terpaksa menerima walaupun secara peribadi kita tak setuju. Kalau tak setuju pun, saya harap kita dalam pasukan ada platform atau medium lain untuk digunakan.
"Tak perlu guna media untuk serang pemimpin kita," katanya memberi contoh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang disifatkannya dipecat kerana menentang presiden secara terbuka.
Semangat berpasukan
Ismail turut menyatakan harapannya agar Khairy kembali menjadi "pasukan Umno".
"Keputusan ramai mesti dihormati melebih keputusan peribadi.
"Apabila kita ingin buat bajet alternatif, individu yang dipilih menjadi pengerusi adalah Khairy. Maknanya tak ada perasaan tak puas hati yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku ketua pembangkang," katanya.
Selepas kekalahan BN dalam pilihan raya umum (PRU) 9 Mei lalu, Khairy dilihat lantang menyatakan pandangannya yang sering kali tidak selari dengan presiden partinya.
Terbaru, Khairy mengkritik ucapan dasar Zahid di PAU semalam yang disifatkannya tidak jelas.
"Kamu memimpin parti, perlu jelas.
"Kamu tidak boleh kata minggu lalu meneroka kerjasama dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan dan hari ini pula kata nak lawan, zalimlah, macam-macam.
"Saya tidak keliru. Tetapi kamu perlu jelas ke mana arah tuju parti," kata Khairy.
Selain itu, bekas ketua Pemuda Umno itu juga dilihat tidak senang dengan cadangan untuk bekerjasama dengan PAS ketika Zahid mengambil pendekatan terbuka untuk bekerjasama dengan parti lain bagi membentuk "kerajaan perpaduan".
Beberapa pemimpin Umno senada membantah kerjasama Umno dengan PAS atau parti komponen HARAPAN termasuk Ketua Pemudanya Datuk Asyraf Wajdi.
Namun, beberapa pemimpin lain mengkritik tindakan Khairy termasuklah Anggota Parlimen Pasir Salah Datuk Tajuddin Abdul Rahman.

