Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno kaji sama ada jual KL PWTC atau runding semula - Zahid

PAU 2018 | Umno sedang mengkaji pilihan yang ada berhubung projek pembangunan menara 70 tingkat Pusat Dagangan Dunia Putra KL Putra (KL PWTC), yang menempatkan ibu pejabat baru Umno.

Dalam sidang akhbar hari ini, presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sama ada akan merundingkan semula projek itu dengan rakan kongsi baru atau menjual hartanah itu.

"Kami mempunyai beberapa pilihan dan kami telah berbincang dengan pemaju, sama ada merundingkan semula dengan rakan kongsi baru atau usaha sama yang akan diwujudkan atau kami menjualnya kepada pihak ketiga," katanya.

New Straits Times (NST) pada 26 Sept lepas melaporkan bahawa Zahid berkata projek itu, yang akan dibina di tapak Terminal Bas Putra, ditangguhkan sehingga rundingan selesai.

Difahamkan, penangguhan projek itu ada kaitan dengan pembekuan akaun Umno oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang menyiasat aliran dana 1MDB.

Umno mengumumkan projek itu pada ulang tahunnya ke-70 pada tahun 2016.

KL PWTC akan menempatkan pejabat, sebuah hotel bertaraf enam bintang dengan 250 bilik, podium beli-belah dua tingkat, masjid yang boleh menampung jemaah seramai 5,000 orang pada satu-satu masa dan restoran, lapor NST.

Terdahulu hari ini, Zahid memberitahu perwakilan Umno bahawa parti itu memberikan mandat kepada beliau untuk mendapatkan semula aset parti daripada pemegang amanah, yang memegang aset tersebut.

"Pengembalian ini akan kemudian dibawa kepada jawatankuasa pengurusan dan dibentangkan secara telus kepada MT (Majlis Tertinggi)," kata Zahid.

Katanya, selepas meneliti laporan yang diberikan, aset Umno tidak bernilai berbilion seperti yang digambarkan sesetengah pihak.

Lihat Komen
ADS