Di sebalik boikot, ada ahli MIC kempen untuk Isa Samad
PRK PD l Di sebalik kengganan MIC mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson (PD) beberapa ahli bertindak berkempen untuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Samad yang bertanding sebagai calon bebas.
Menurut salah seorang ahli parti berkenaan, mereka berkempen untuk bekas pemimpin Umno itu atas kapasiti individu.
"Kami tidak berkempen menggunakan logo MIC atau memakai baju BN mahupun MIC. Kami berkempen atas dasar kapisiti individu.
"Kami juga tidak melanggar arahan pucuk pimpinan kerana kami bukannya berkempen kepada Umno sebaliknya calon bebas," tambahnya yang enggan mendedahkan namanya.
Terdahulu, Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran menyatakan keputusan partinya tidak akan mengambil bahagian pada PRK PD, meskipun ia merupakan kerusi tradisi MIC sejak tahun 1974.
Vigneswaran yang juga Speaker Dewan Negara berkata MIC memboikot PRK itu selepas kecewa dengan keputusan Umno mengumumkan hasrat bertanding tanpa persetujuan parti komponen BN.
Menurut seorang lagi Ketua Cawangan MIC dari bahagian Port Dickson, beliau sebagai pengundi parlimen Port Dickson mempunyai hak untuk berkempen dan menyokong calon pilihannya.
"Kami menghormati keputusan pucuk pimpinan. Pada masa yang sama kami juga mempunyai kebebasan untuk memilih calon pilihan kami."
Tambahnya, kumpulan beliau yang majoriti ahli MIC, berkempen untuk Isa Samad kerana kesetiaan kepadanya selaku bekas ADUN Bagan Pinang.
"Semasa beliau merupakan ADUN, beliau banyak membantu kami. Jadi, kami bantu balik pada kali ini. Harapan kami adalah mendapatkan sokongan pengundi India kepada Isa Samad berbanding calon PKR, (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim)," tegasnya.
Jelasnya, sasaran beliau adalah mendapatkan 50 peratus pengundi India untuk memilih Isa sebagai wakil rakyat di kawasan itu.
DUN Bagan Pinang memiliki seramai 2,199 pengundi berketurunan India.
Terserah kepada pucuk pimpinan
Dalam pada itu, bekas Ketua MIC Bahagian Port Dickson (dulu dikenali sebagai Teluk Kemang) Datuk R Balakrishnan mengakui terdapat ahli parti itu berkempen bagi pihak Isa Samad.
"Saya mendengar ada orang MIC berkempen untuk Isa Samad. Namun, saya tidak dapat pastikan siapa orangnya.
"Terserah kepada pucuk pimpinan untuk mengambil sebarang tindakan mereka ini. Apa jua keputusan daripada pucuk pimpinan kami akan melaksanakan," jelasnya kepada Malaysiakini.
Bersama Anwar Ibrahim, Isa Samad adalah antara tujuh calon yang bertanding pada PRK Port Dickson.
Selain itu ialah calon PAS, Leftenen Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar, empat calon lain adalah calon bebas iaitu; Lay Seck Yan, Stevie Chan, Kee Chee Yuen, dan bekas pembantu khas Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Seramai 75,211 layak mengundi pada PRK yang akan diadakan pada 13 Oktober ini.

