Menteri WARISAN nafi salah guna dana LDP
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong menafikan wang yang dikreditkan ke dalam akaun Parti Liberal Demokratik (LDP) disalahgunakan semasa pentabirannya sebagai presiden parti itu.
Liew dalam satu kenyataan berkata semua transaksi telah direkod, diaudit dan dilulus oleh perwakilan parti dari tahun 2006 hingga 2012.
"Terdapat baki wang sumbangan dalam akaun parti semasa mereka menggantung keahlian dan melucutkan jawatan saya sebagai presiden parti secara tidak konstitusional pada Oktober 2013," kata Liew ketika mengulas dakwaan sebuah blog yang dikenali sebagai steadyaku47.com.
Penulis blog itu mendakwa dua cek bernilai RM3.5 juta telah disumbangkan oleh perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak kepada LDP - yang ketika itu adalah parti komponen BN - pada tahun 2013.
Beliau juga mendakwa bahawa Liew, yang adalah bekas presiden LDP pada masa itu memaksa bendahari parti untuk menandatangani bersama cek tersebut dan mengeluarkannya tanpa pengetahuan ahli-ahli lain.
Liew, yang kini adalah menteri yang bertanggungjawab ke atas undang-undang dan ahli Parti Warisan Sabah, berkata dakwaan bahawa beliau menekan dan memaksa Ken Fong, yang adalah ketua bendahari LDP pada masa itu, adalah sukar dipercayai.
"Ini menunjukkan sejauh mana kebohongan yang mereka sanggup lakukan untuk mencapai agenda kotor mereka."
"Kamu tidak akan percaya bahawa Ken Fong boleh dipaksa oleh sesiapapun untuk menandatangani cek untuk tujuan yang tidak baik sekiranya kamu mengenali beliau,” katanya, sambil menambah bahawa kebenaran akan terdedah juga akhirnya.
Beliau seterus menjelaskan bahawa semua pengeluaran wang dari akaun parti memerlukan tandatangan bendahari agung kerana beliau merupakan penandatangan wajib.
"Penandatangan lain adalah sama ada presiden iaitu saya atau Teo Chee Kang yang merupakan setiausaha agung pada waktu itu," katanya.
“Saya memegang jawatan sebagai ketua LDP selama tujuh tahun iaitu dari tahun 2006 hingga 2013 dan sepertimana semua orang tahu tidak ada cara bagi saya untuk menjalankan tugas saya tanpa sumbangan politik daripada penyokong-penyokong.
"Bagaimanapun, saya telah gagal untuk mengekalkan kerusi parlimen Sandakan.
“LDP juga telah kehilangan kerusi DUN Likas dan hanya berjaya memenangi tiga kerusi dalam pilihan raya umum ke-13...,” katanya sambil menambah kekalahan itu mencetuskan krisis kepimpinan yang bermula lewat Ogos 2013.
Justeru, kata Liew, beliau tidak mengetahui apa yang berlaku dengan wang parti itu sejak tahun 2013 memandangkan beliau tidak lagi menjadi presiden parti berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata bekas Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Teo Chee Kang dan Pemangku Presiden LDP, Chin Su Phin harus bertanggungjawab bermula tempoh mereka menggantungnya dari pejabat pada tahun 2013 dan merampas wang dalam akaun bank tanpa pengetahuannya.
“Bagaimana saya dapat memasuki pejabat sedangkan mereka mengunci pintu pada masa itu? Mereka juga mengambil semua fail parti, penyata akaun dan dokumen lain yang berkaitan
"Mereka bahkan meluluskan resolusi dalam mesyuarat agung parti yang berikutnya parti di mana mereka juga berjaya mengubah penandatangan saya kepada mereka,” katanya selepas sesi pertemuan dengan penuntut-penuntut universiti dari Sabah di Dewan Malaysia di London, pada Sabtu lalu.
Liew kini di London bagi mengiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York pada 29 September.
Ditanya sama ada beliau menerima surat daripada pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai sumbangan politik yang bernilai RM3.5 juta diberikan oleh Najib pada tahun 2012 dan 2013, Liew berkata beliau tidak dipanggil atau menerima surat daripada mana-mana pihak.
"Saya hanya nampak satu surat daripada pihak polis bertarikh Sept 7 kepada LDP yang ditularkan melalui media sosial tetapi oleh kerana saya telah meninggalkan LDP, ia tidak membimbangkan saya sama sekali.
Bagaimanapun, Liew berkata beliau bersedia untuk dipanggil memberi keterangan kepada polis jika diperlukan.
"Malah, saya telah mendedahkan kepada Dr Mahathir mengenai perkara ini pada minggu pertama selepas perlantikan saya sebagai menteri kabinet pada 2 Julai.
"Saya juga telah memberitahu pihak SPRM berkenaan isu yang sama," katanya.

