Calon bebas PRK PD mahu politik matang, profesional
PRK PD | Mahu membawa perubahan dalam suasana politik negara supaya menjadi lebih matang dan profesional mendorong pakar perunding pengurusan, Kan Chee Yuen menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
Walaupun tidak memiliki sebarang pengalaman dalam politik, beliau merasakan pengalaman luasnya dalam bidang pengurusan mampu menjadi taruhan untuk bersaing dengan calon-calon lain dalam pilihan raya itu.
Berusia 45 tahun, Kan dilahirkan di Ipoh, Perak pada Ogos 1973 dan dibesarkan di Pulau Pinang.
Beliau mendapat pendidikan sekolah rendah dan menengah di St. Xavier's Institution, George Town pada 1978 hingga 1990 sebelum melanjutkan pelajaran ke Kolej Sistematik (sekarang dikenali sebagai SEGi University and Colleges).
Beliau memulakan kerjaya sebagai pakar perunding pengurusan pada 1994 yang menawarkan khidmat mentor jurulatih pentadbiran bagi syarikat dan organisasi dari pelbagai bidang.
Beliau juga memiliki ijazah profesional bidang pentadbiran dari Institute of Chartered Secretaries and Administrators (ICSA), United Kingdom dan telah menghasilkan hampir 300 program dan modul pengurusan dalam pelbagai sektor.
Kan turut menjawat jawatan dalam beberapa institusi profesional antaranya sebagai presiden Asian Alliance for Advancement, pengasas Advance Accreditation Authority, Singapore, pengasas bersama Asian Caucus of Invention Associations (ACIA), Hong Kong dan merupakan setiausaha kehormat Persatuan Rekaan dan Inovasi Malaysia (MINDS).
Kan yang menggunakan logo pen pada PRK ini adalah seorang daripada lima calon bebas yang akan bertanding selain Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Pakatan Harapan dan Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dari PAS.
PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, pada 12 September lalu mengosongkan kerusi itu untuk memberi laluan kepada Anwar, yang baru-baru ini menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR untuk kembali ke Dewan Rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 Oktober ini sebagai hari mengundi manakala 9 Oktober sebagai hari pengundian awal.
-Bernama

