Justo, isteri mahu bukukan pengalaman peribadi skandal 1MDB
Bekas eksekutif Petrosaudi, Xavier Justo dan isterinya, Laura sedang menulis buku berkisar pengalaman peribadi mereka sendiri sepanjang skandal 1MDB.
"Ia bukan buku tentang 1MDB, atau kisah jenayah kewangan, semua ini boleh dibaca di Google, buku tentang 1MDB atau suratkhabar.
"Buku ini tentang pengalaman peribadi, perjalanan yang penuh kesukaran, tentang cinta, persahabatan dan penipuan. Kisah tentang manusia," kata Justo dalam Facebook.
Beliau menambah bahawa buku berkenaan akan menjadi legasi untuk anak lelaki mereka, keluarga, dana rakan-rakan yang bersama mereka dalam menghadapi kesukaran ketika terheret dalam skandal itu.
Justo meninggalkan PetroSaudi International pada 2011, dua tahun selepas syarikat berkenaan menerima AS$1 bilion daripada kerjasama 1MDB.
Beliau meninggalkan syarikat itu dengan rekod emel yang disimpannya sebagai jaminan.
Justo akhirnya menyerahkan maklumat dalam emel berkenaan kepada editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan media Malaysia selepas Petrosaudi gagal membayar AS$2 juta yang dihutang daripadanya.
Justo kemudian dipenjara pada Ogos 2015 selepas beliau mengaku atas dakwaan mengugut yang dikenakan ke atasnya oleh bekas majikannya. Justo didakwa melakukan ugutan berkenaan pada 2013.
Justo kemudian mendakwa pengakuan bersalahnya adalah kerana ditekan.
Dalam kiriman di Facebook hari ini, Justo berkata dia dan isterinya mahu menyatakan kebenaran lengkap dengan perincian bagi memalukan dan memberi pengajaran kepada pihak di sebalik skandal 1MDB.
"Tiada sesiapa yang betul-betul boleh membayangkan bahawa penjenayah sanggup melakukan apa saja untuk melindungi wang yang mereka curi.
"Semua ini, dengan penglibatan bekas polis UK, peguam dari salah satu firma guaman terkemuka Switzerland, penyebaran maklumat tak bermoral dan sikap penjenayah, wartawan yang sanggup memberi gambaran baik tentang penjenayah sebenar untuk menjual suratkhabar," katanya.
Justo menambah bahawa mereka tidak berhasrat untuk mendapat keuntungan dan berikrar akan mendermakan sebahagian keuntungan jualan buku itu kepada badan kebajikan di Malaysia.
Buku berkenaan, jelasnya, akan mengambil masa setahun untuk disiapkan.

