Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemilihan PKR: Rafizi tuntut keputusan Labis dibatalkan

Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli hari ini meminta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti itu membatalkan keputusan pemilihan pusat cabang Labis.

Rafizi, kini menjawat jawatan naib presiden, mendakwa terdapat campur tangan pengawas JPP yang mengundi bagi pihak anggota parti.

Dalam satu laporan kepada Pengerusi JPP Datuk Rashid Din dan Pengerusi Jawatankuasa Aduan Pemilihan Pusat Dr Syed Husin Ali, Rafizi mendakwa kelemahan utama pengendalian pemilihan setakat ini bukanlah berpunca dari sistem pengundian elektronik (e-undi).

"Sebaliknya apabila pengawas-pengawas JPP secara terang-terangan merayu undi (dengan mengambil senarai calon lawan dan digantikan dengan senarai calon lain di dalam dewan pengundian)," dakwa Rafizi.

Beliau mendakwa mempunyai klip video “bukti” bagaimana pengawas JPP berada di tepi pengundi-pengundi untuk memberi arahan calon mana perlu diundi.

"Malah ada yang mengundi sendiri bagi pihak pengundi," dakwanya lagi.

Semalam di pemilihan negeri Johor, Rafizi ketinggalan kepada pesaing dan juga penyandang Timbalan Presiden Datuk Seri Azmin Ali dengan majoriti 827 undi.

Azmin mendapat 5,852 undi diikuti Rafizi hanya mendapat 5,025 undi.

Rafizi berkata akan menghantar laporan lengkap bagaimana JPP dari cabang-cabang lain di luar Johor yang ditempatkan “sehingga memberi kemenangan yang meragukan”.

"Oleh kerana kejadian di Labis ada bukti-bukti yang kukuh, saya dengan ini membuat permohonan rasmi agar keputusan pemilihan di cabang Labis semalam dibatalkan," tegasnya.

Surat aduan Rafizi turut ditujukan kepada dua pemimpin paling kanan parti – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Datuk Seri Anwar Ibrahim – dan Setiausaha Agung Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Isu sama di Tebrau, Ledang dan Pontian

Sementara itu, Naib Pengerusi PKR Melaka G Rajendran menyeru JPP membatalkan keputusan di tiga cabang lain di Tebrau, Ledang dan Pontian.

"Selaku saksi terhadap manipulasi yang dilakukan oleh pengawas JPP, saya meminta keputusan Labis, Tebrau, Ledang dan Pontian dibatalkan serta-merta,” dakwa beliau.

Timbalan Pengerusi Cabang Serdang R Suresh Kumar pula meminta Rafizi dan penyokongnya memboikot pemilihan kali ini, susulan dakwaan ditimbulkan.
"Pada pandangan saya intergriti JPP sangat tercemar,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi JPP berkaitan dakwaan di atas.

Lihat Komen
ADS