Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Orang Permatang Pauh menangis saya tanding di PD'

PRK PD | Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyokongnya di Permatang Pauh menangis apabila mengetahui beliau akan bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

"Mereka kata kepada saya, kami sudah bersama kamu susah dan senang, dan kini kamu bakal jadi perdana menteri, tapi kamu bertanding di Port Dickson?" kata Anwar kepada kira-kira 200 hadirin di Thistle Resort, Port Dickson hari ini.

Tambah Anwar, beliau sudah menjelaskan kepada mereka bahawa meskipun kini perlu mengutamakan Port Dickson, Permatang Pauh tidak pernah jauh dari hatinya.

Malah, katanya, apabila menjadi perdana menteri kelak, bukan saja beliau perlu menjaga Port Dickson, tapi juga semua negeri.

Parlimen Permatang Pauh mempunyai sejarah yang intim dan panjang dengan Anwar dan keluarganya. 

Ia merupakan kubu kuat Anwar Ibrahim sejak 1982 lagi. Beliau menjadi wakil rakyat kawasan itu selama empat penggal sehingga 1995.

Pada pilihan raya umum (PRU) 1999, ketika Anwar dalam penjara, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertanding di kawasan itu dan berjaya mengalahkan lawannya dari Umno, Datuk Dr Ibrahim Daad.

Wan Azizah berjaya mempertahankan kerusi itu selama tiga penggal.

Beliau kemudian meletakkan jawatan pada Julai 2008 untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding PRK di kawasan itu.

PRK Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 menyaksikan Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi mengalahkan calon BN, Datuk Arif Shah Omar.

Anwar kekal Ahli Parlimen selepas menewaskan calon BN, Dr Mazlan Ismail pada PRU ke-13.

Bagaimanapun, pada 2015, Anwar hilang kelayakan sebagai penyandang kerusi itu selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar.

Pada 7 Mei 2015, Wan Azizah bertanding dalam pertembungan empat penjuru PRK Permatang Pauh dan berjaya mempertahankan kerusi berkenaan.

Pada PRU-14 baru-baru ini, Anwar yang sekali lagi tidak dapat bertanding kerana masih berada di dalam penjara.

Anak Anwar, yang sebelum itu merupakan anggota parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah bertanding di Permatang Pauh dan berjaya mempertahankan kerusi berkenaan.

Kini bebas selepas mendapat pengampunan diraja, Anwar akan bertanding di Port Dickson selepas penyandang kerusi itu Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan.

Seperti Wan Azizah di Permatang Pauh sebelum ini, Danyal mengosongkan kerusinya di Port Dickson bagi memberi laluan kepada Anwar kembali ke parlimen.

Lihat Komen
ADS