Anggota Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh gagal mengalahkan penyandang Ketua Cabang PKR Ledang, Dr Chong Fat Full semalam.

Chong, yang merupakan anggota dewan undangan negeri (ADUN) Pemanis, mempertahankan jawatannya dengan 541 undi sementara Syed Ibrahim hanya meraih 263 undi.

Anggota parlimen PKR Johor lain yang bertanding jawatan ketua cabang bagaimanapun berjaya menang. Mereka ialah Anggota Parlimen Choong Shiau Yoon, Anggota Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir, dan Anggota Parlimen Batu Pahat Rashid Hasnon.

Lima jawatan ketua cabang lain dimenangi tanpa bertanding, iaitu Tenggara, Pangerang, Pasir Gudang, Parit Sulong, dan Ayer Hitam.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Adzman Hedra berkata pihaknya berpuas hati kerana tiada kejadian atau masalah teknikal yang menganggu proses pemilihan yang melibatkan 24 cabang PKR di negeri itu.

Bagaimanapun, Bernama melaporkan Adzman sebagai berkata, hanya 10,725 dari 37,934 pengundi yang membuang undi semalam.

Peratusan keluar mengundi hanya 39.29 peratus di Segamat, 39.77 peratus di Pagoh, 37.10 peratus di Kulai, 35.92 peratus di Sekijang, 34.07 peratus di Simpang Renggam, 30.81 peratus di Bakri dan 30.61 peratus di Parit Sulong, sementara di cabang lain, hanya antara 11.72 peratus hingga 28.77 peratus anggota PKR mengundi.

Pemilihan itu menyaksikan 53 calon bertanding jawatan ketua cabang, sementara 163 yang lain bertanding jawatan timbalan ketua, naib ketua, dan anggota jawatankuasa.