Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
PRK PD: Saiful mulakan kempen dengan jumpa ketua kampung

PRK PD | Selepas dua hari tidak kelihatan sejak hari penamaan calon, Saiful Bukhari Azlan hari ini muncul memulakan kempen pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

Beliau yang juga merupakan bekas pembantu khas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat makan bersama rakan-rakannya di sebuah restoran di Batu 4, Jalan Pantai, Port Dickson, malam ini.

"Sebenarnya, saya mula berkempen sejak tengah hari tadi. Saya singgah di sini kerana tuan restoran ini kawan saya," katanya secara ringkas kepada Malaysiakini.

Ketika ditanya tentang persediaan kempen, beliau berkata akan menjawab dalam sidang media esok.

"Saya akan berjumpa pihak media. Esok saya akan jawab," katanya tanpa mengulas lanjut.

Beliau sebelum itu dilihat beramah mesra dengan pelanggan di restoran tersebut.

Terdahulu, sekitar tengah hari, Saiful memberitahu Malaysiakini bahawa program pertama kempennya adalah untuk bertemu pemimpin tempatan di Bagan Pinang.

Hanya setelah itu, katanya, beliau akan bertemu dengan pengundi.

"Pagi tadi saya ada bertemu beberapa ketua kampung dan pemimpin tempatan.

"Saya percaya ia seharusnya begini, memberi salam perkenalan terlebih dahulu sebagai tanda hormat kepada pemimpin," katanya.

Saiful, 33, merupakan salah seorang daripada tujuh calon yang bertanding di PRK berkenaan yang akan diadakan 13 Okt ini.

Enam calon yang lain adalah calon Anwar (Pakatan Harapan), Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (bebas), Lau Seck Yan (bebas), Stevie Chan Keng Leong (bebas) dan Kan Chee Yuen (bebas).

Saiful pernah menjadi tumpuan ramai pada tahun 2008, apabila beliau mendakwa diliwat Anwar hingga mengheret Presiden PKR itu ke penjara.

Lihat Komen
ADS