Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua Pemuda Umno PD: Saya anak soleh, bantu bapa kempen

PRK PD | Bagi Mohd Najib Mohd Isa, beliau adalah anak kepada bekas menteri besar Negeri Sembilan itu terlebih dulu, barulah sebagai pemimpin Umno tempatan.

Justeru, walau partinya telah mengambil keputusan untuk memboikot PRK Port Dickson, beliau yang juga ketua pemuda Umno Port Dickson berkata akan tetap turun berkempen bagi membantu kemenangan bapanya.

"Saya anak yang soleh. Saya nak bantu ayah saya menang pilihan raya, itu saja. Hal lain saya tak fikir," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam satu program tertutup Tan Sri Isa Samad bersama golongan muda, semalam.

Umno mengambil keputusan memboikot PRK itu dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan telah melarang untuk anggota Umno terlibat dalam PRK itu.

Terdahulu, Isa yang juga pernah menjadi ketua Umno bahagian Teluk Kemang hampir 30 tahun mengumumkan keluar Umno selepas mengambil keputusan untuk bertanding di PRK Port Dickson.

Mohd Najib berkata, selaku pemimpin sayap parti beliau akur dengan keputusan kepimpinan dan menegaskan beliau turun berkempen hanya atas kapasiti sebagai anak.

"Parti sudah buat keputusan untuk boikot dan ia memang ada logiknya, cuma sebagai anak saya kena bantu ayah," kata anak sulung kepada Isa itu lagi.

Justeru beliau berkata terpulang kepada pemimpin Umno untuk mengambil tindakan ke atasnya ekoran keputusannya untuk terlibat dalam PRK itu.

"Saya serahkan kepada kebijaksanaan (kepimpinan) parti. Umno adalah sebuah parti yang lengkap dengan struktur yang baik, mereka akan buat keputusan yang terbaik untuk parti.

"Saya juga tak fikir ke tahap itu (tindakan daripada parti). Saya hanya fikir 13 Oktober nanti (bapa) saya menang, itu saja," katanya lagi.

Menggunakan lambang kerusi, Isa adalah seorang daripada lima calon Bebas yang bertanding dalam PRK itu.

Lihat Komen
ADS