Utusan: Azmin tak terlalu yakin kekal timbalan presiden PKR
Portal Utusan Malaysia hari ini memetik Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai berkata, beliau tidak bersikap terlalu yakin akan mengekalkan kedudukannya.
“Saya bukan over confident. Ini adalah pemilihan dalaman parti jadi, walau apa pun perbincangan itu ia haruslah memupuk perpaduan dan bukan memecah-belahkan parti,” katanya.
Setakat ini, Azmin masih mendahului pencabarnya, Rafizi Ramli dalam pemilihan parti itu selepas undian di Pulau Pinang dan Johor.
Justeru, katanya, beliau akan terus turun padang untuk bertemu dan memberi penjelasan kepada seluruh ahli agar perpaduan dalam parti tetap utuh.
Beliau turut menarik perhatian, gejala membodek dan mendewa-dewakan pemimpin semakin menular sehingga mewujudkan kelompok dalam parti yang memberi kesan negatif.
“Pokoknya saya mahu anggota parti setia kepada perjuangan, dan jangan taasub kepada pemimpin kerana budaya ini tidak sihat.
“Apabila kita berpegang kepada idealisme perjuangan apa pun gangguan dan cabaran yang datang kita tidak akan goyah dan lari daripada prinsip dan landasan perjuangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Pidato Malaysia Baru sempena siri jelajah menjelang pemilihan parti di Kuala Terengganu semalam.
Yang hadir sama, calon-calon Naib Presiden PKR iaitu Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Shamsul Iskandar Mohd Akin di samping calon Timbalan Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi.
Di Pulau Pinang, Azmin mengatasi cabaran Rafizi di negeri kelahiran Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menerima 3,326 undi berbanding Rafizi Ramli dengan 3,150 undi, sekali mendahului pesaingnya dengan kelebihan 176 undi
Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi terus mendahului pencabarnya dalam pemilihan di Johor apabila memperoleh 4,503 undi manakala Rafizi mendapat 3,976 di negeri itu.

