Tuntutan seorang tukang emas di Dubai yang mahu barangan kemasnya, termasuk permata berlian yang dirampas dalam satu serbuan polis telah diserahkan kepada unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) Bukit Aman.

Malaysiakini dalam satu laporan eksklusif minggu lalu mendedahkan bahawa Adi Hasan Al Fardan Jewellery (Al Fardan) telah menulis surat kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk mendapatkan permata itu semula.

Barang-barang yang secara kolektif bernilai lebih AS$5 juta itu, dihantar ke Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum dirampas oleh polis dalam beberapa serbuan awal tahun ini ke atas beberapa kediaman yang dikaitkan dengan Najib.

Adalah difahamkan bahawa unit AMLA yang diletakkan di bawah JSJK itu sedang giat mengendalikan kes berkenaan.

Minggu lalu, peguam Malaysia yang mewakili Al Fardan, Ashok Kandiah, berkata bahawa JSJK gagal menangani kebimbangan anak guamnya dalam jawapan mereka.

Hari ini, Ashok mengesahkan bahawa polis telah menghubungi mereka lagi selepas artikel tersebut diterbitkan minggu lalu.

"Kami sedang berhubungan dengan Polis Diraja Malaysia dan secara bekerjasana dalam kes itu," katanya.

Minggu lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dipetik sebagai berkata bahawa polis akan menghubungi Rosmah untuk mengenal pasti barangan kemas yang sebelum ini dirampas supaya mereka boleh menjejaki penjualnya.

Barang kemas daripada AlFardan itu termasuk seutas rantai mengandungi 56 berlian kuning berbentuk hati dengan satu batu terbesar seberat 10.7 karat.

Rantai berkenaan juga dikatakan mengandungi 78 berlian berwarna yang bersaiz lebih kecil.

Dengan kos pengubahsuaian yang didakwa diminta oleh Rosmah, rantai berkenaan didakwa bernilai AS$2.248 juta.

Selain daripada itu, tukang kemas itu juga mendakwa menghantar seutas rantai dan set subang yang juga mengandungi berlian kuning, bernilai AS$3 juta.

Rantai berkenaan dikatakan diperbuat daripada berlian “cushion cut" berjumlah 112.94 karat manakala subang itu yang juga dibuat dengan teknik tempaan sama, seberat 17.84 karat.

Menurut Institut Geomologikal Amerika (GIA), berlian kuning sangat berharga dan sukar diperoleh. Ia dikatakan hanya boleh didapati di lombong Zimmi di Sierra Leone.

[Baca berita penuh]