Royalti minyak: Alasan kerajaan sukar diterima, kata MP PAS
Setiausaha PAS Kelantan Datuk Che Abdullah Mat Nawi menyifatkan kenyataan terbaru kerajaan berhubung penangguhan pembayaran royalti minyak kepada negeri itu hanyalah retorik untuk lari daripada janji mereka.
Beliau merujuk Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Radzi Jidin yang berkata perkara itu terpaksa ditangguhkan ekoran saman kerajaan Kelantan terhadap Petronas dan kerajaan persekutuan yang sedang berjalan.
"Kita tidak boleh berbincang menyentuh hal itu secara terbuka. Soal royalti ini ada kes mahkamah dan ia sangkut di situ,” kata Radzi seperti dipetik Berita Harian, 29 September lalu.
Che Abdullah berkata alasan itu sukar diterima oleh penduduk Kelantan mengharapkan perubahan yang lebih baik daripada kerajaan baru.
"Jika kerajaan persekutuan hari ini benar-benar ingin menunaikan tanggungjawab pembayaran royalti tersebut, maka kes ini boleh diselesaikan di luar mahkamah setelah dipersetujui pembayaran di antara Petronas, kerajaan persekutuan dan Kelantan.
"Asas kepada kes tersebut juga tidak timbul lagi jika semua pihak mencapai kata sepakat," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurut laporan saman itu difailkan kerajaan Kelantan pada 2010 bagi menuntut antaranya bayaran royalti yang dikatakan tertunggak sejak 1998.
Kes itu masih berterusan dan pada 24 Julai 2017, Mahkamah Persekutuan membenarkan Petronas dan kerajaan menentukan tiga soalan mengenai sama ada Kelantan boleh menimbulkan persoalan itu.
Che Abdullah yang juga anggota parlimen Tumpat mendakwa kerajaan persekutuan sengaja mencipta alasan untuk menangguhkan pembayaran.
"Polemik panjang tidak menyelesaikan masalah bahkan implikasinya menyebabkan kebajikan rakyat tidak terbela," katanya lagi.

