Media Prima lantik Mustapha Kamil sebagai pengarah eksekutif
Media Prima Bhd (Media Prima) hari ini mengumumkan pelantikan Mustapha Kamil Mohd Janor sebagai pengarah eksekutif, operasi berita dan editorial, Media Prima.
Kumpulan media itu juga turut mengumumkan pelantikan beliau sebagai ahli lembaga pengarah, Sistem Televisyen Malaysia Bhd (TV3) dan The New Straits Times Press Bhd (NSTP), berkuat kuasa hari ini.
Melalui laporan berita di Berita Harian yang juga adalah syarikat Kumpulan Media Prima, laporan itu menyebut sebagai pengarah eksekutif, Mustapha Kamil bertanggungjawab dalam keseluruhan fungsi operasi berita dan editorial di Media Prima.
“Ini termasuk penetapan hala tuju strategik serta pemantauan operasi berita di Rangkaian Televisyen Media Prima dan NSTP.
“Beliau juga akan memberi fokus ke arah mengoptimumkan potensi unit berita Kumpulan sejajar dengan usaha transformasi perniagaan Media Prima,” petik laporan itu.
Mustapha Kamil, 57, berpengalaman selama 26 tahun dalam bidang kewartawanan dan memulakan kerjayanya sebagai wartawan kadet di NSTP pada tahun 1989.
Beliau pernah memegang pelbagai jawatan di NSTP, termasuk sebagai koresponden luar negara NSTP di New York; pengarang urusan di Business Times dan pengarang kumpulan di New Straits Times, sehinggalah peletakan jawatan beliau pada Mei 2016.

