Saman pemula bekas Anggota Parlimen Simpang Benut, Mohamed Tawfik Ismail yang mencabar pembentangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) oleh presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berdepan halangan.

Kali ini, ia menerima bantahan awal daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas alasan bahawa perkara itu kini bersifat akademik.

Shamsul Bolhassan yang mewakili AGC berkata memandangkan Speaker Dewan Rakyat (Datuk Mohamad Ariff Md Yusof) baru sahaja dilantik, Abdul Hadi perlu mendapatkan kebenarannya dalam membentangkan rang undang-undang persendiriannya.

"Semua perkara yang belum selesai dengan sesi Parlimen ke-13 secara automatik luput selaras dengan pembubaran Parlimen.

"Oleh itu, permohonan itu adalah akademik," katanya.

Sebelum ini, Tawfik telah menamakan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Setiausaha Parlimen Rosmee Hamzah sebagai defendan dalam samannya itu.

Peguam yang mewakili Tawfik, Rosli Dahlan (foto, kanan), bagaimanapun, menegaskan bahawa perkara itu bukan akademik kerana ada kemungkinan bahawa rang undang-undang itu dibentangkan semula oleh Hadi.

Pembentangan rang undang-undang itu, kata peguam berkenaan, adalah bertentangan dengan perkara 38 Perlembagaan Persekutuan kerana undang-undang Islam berada di bawah bidang kuasa negeri dan pemerintahnya, dan kelulusan perlu diperolehi daripada Majlis Raja-Raja.

"Tugas speaker dan sumpah jawatannya adalah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan perlembagaan," katanya, sambil menambah bahawa saman pemula itu masih relevan dan bukan akademik.

Rosli berkata Pandikar membenarkan pembentangan pindaan Akta 355 yang dicadangkan itu tanpa merujuk dengan Majlis Raja-Raja yang salah mengikut undang-undang.

Hakim Nordin Hassan berkata beliau memerlukan masa untuk menyampaikan keputusannya mengenai bantahan awal itu dan menetapkan 14 Nov untuk membuat keputusan.

[Baca berita penuh]