Ada calon 'gedebe', 5 cabang PKR Kelantan dijangka panas
PEMILIHAN PKR | Lima cabang PKR Kelantan dijangka menjadi tumpuan susulan pertembungan dan saingan sengit pada pemilihan parti itu yang akan berlangsung Jumaat ini.
Menurut sumber dalaman PKR negeri, lima lokasi tersebut melibatkan cabang Gua Musang, Jeli, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Pasir Mas.
"Lima cabang itu dianggap sebagai pemilihan tumpuan kerana menampilkan tokoh-tokoh yang mampu memberi saingan sengit kepada lawan masing-masing khususnya bagi jawatan ketua cabang.
"Ia juga membabitkan individu yang dianggap sebagai 'gedebe' dan mempunyai pengaruh tersendiri, " kata sumber yang juga pimpinan kanan PKR Kelantan itu kepada Malaysiakini, hari ini.
Menurutnya, persaingan sengit juga susulan pemilihan jawatan tumpuan di peringkat pusat melibatkan jawatan timbalan presiden antara penyandangnya Datuk Seri Azmin Ali dan dicabar Naib Presiden, Rafizi Ramli.
Katanya, suasana pemilihan di Kelantan juga sama seperti di negeri lain dengan pertembungan antara pengaruh Azmin dan Rafizi.
"Selain itu, ada persaingan sengit bagi jawatan ketua cabang dengan melibatkan pertandingan lima penjuru seperti di cabang Jeli," jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR negeri, Mohd Sukirman Mustafa berkata, pihaknya berharap semua calon dapat bersaing dalam suasana harmoni sekali gus mengelak sebarang provokasi.
"Kita berharap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dapat memberi tumpuan khususnya dalam penggunaan sistem E-Undi.
"Selain itu, semua pihak perlu memberi kerjasama yang baik dan mendengar arahan pihak yang bertanggungjawab," katanya.
Ditanya mengenai jangkaan awal keputusan bagi jawatan timbalan presiden, Mohd Sukirman menjangka keputusan berpihak kepada Azmin.
"Walaupun wujud cabaran sengit oleh pasukan Rafizi di beberapa cabang, pengaruh Azmin dilihat akan menguasai undi," katanya ketika dihubungi.

