Walau kesal, anugerah Nobel Suu Kyi tak akan ditarik
GLOBAL | Pengarah Eksekutif Yayasan Nobel - penganjur anugerah Nobel - Lars Heikensten mengakui beberapa tindakan pemenang Anugerah Nobel Keamanan Aung San Suu Kyi adalah "mengesalkan".
Namun, kata Heikensten, pihaknya tidak akan menarik balik anugerah itu yang dikurniakan kepada Suu Kyi pada 1991.
Menurut laporan Reuters, beliau berkata ini kerana tidak munasabah untuk juri sentiasa membincangkan kelayakan penerima anugerah itu selepas ia diberikan.
Beliau berkata, akan sentiasa ada tindakan mana-mana tokoh selepas menerima anugerah Nobel yang tidak selari dengan yayasan itu.
"Kami melihat tindakannya di Myanmar banyak dipersoalkan dan kami berpegang kepada hak asasi, ia adalah salah satu nilai utama kami.
"Setakat tanggungjawabnya terhadap perkara itu, ia sesuatu yang amat dikesali.
"Bagi kami, tidak wajar untuk cuba menarik balik anugerah...ia akan membuatkan kami dalam perbincangan berterusan tentang merit (penerima) selepas mereka menerima anugerah," kata Heikensten.
Reuters turut memetik laporan penyiasat PBB Ogos lalu yang mendakwa tentera Myanmar mengadakan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang Islam Rohingya.
Laporan PBB itu turut menuduh Suu Kyi sebagai gagal menggunakan "autoriti moralnya" untu menghindar perkara itu.
Setakat ini, lima anugerah yang diterima Suu Kyi sebagai tokoh prodemokrasi dan hak asasi manusia telah ditarik balik, antaranya Anugerah kehormat Sekolah Ekonomi London (LSE) dan kedudukan sebagai anggota kehormat Unison - kesatuan sekerja kedua terbesar di United Kingdom.
Minggu lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut membangkitkan perkara itu dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB apabila mengecam kerajaan Myanmar dan berkata Malaysia tidak akan lagi menyokong Suu Kyi.

