Pihak pemaju pembinaan Setiawangsa-Pantai Expressway (SPE) mengambil maklum dengan bantahan penduduk pangsapuri di Desa Pandan Kuala Lumpur berhubung kedudukan tiang lebuh raya itu.

Ia susulan surat bantahan yang diterima Ekovest Berhad daripada syarikat pengurusan pangsapuri RSGC View yang memaklumkan bahawa tiang berkenaan dipasang di hadapan pintu masuk kawasan kediaman itu.

Pengarah Urusan Ekovest Berhad, Tan Sri Lim Keng Cheng yang dihubungi Malaysiakini berkata pihaknya akan segera mencari jalan penyelesaian kepada perkara itu.

"Kami ambil maklum segala isu dan permasalahan dari penduduk RSGC View dan sekarang dalam tindakan untuk menyelesaikan semua isu yang dibangkitkan," katanya.

Terdahulu, pengerusi syarikat pengurusan RSGC View, Mohd Ghazali Mahmood, dalam surat bantahan yang dikirimnya memaklumkan Ekovest bahawa bahawa tiang lebuhraya itu membahayakan keselamatan pengguna jalan raya sama ada semasa pembinaan mahupun selepas pembinaan.

"Kawasan jalan yang akan ditutup untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan akan menganggu lalu lintas utama penduduk-penduduk di kawasan ini.

‘’Penghadang yang dipasang akan menjejaskan penglihatan para pengguna jalan tersebut, terutama di kawasan yang berselekoh," katanya.

Selain itu, tambah Ghazali, sebahagian jalan di kawasan pangsapuri berkenaan akan menjadi "gelap dan terlindung" selepas tiang itu siap dibina.

Beliau juga berkata harga hartanah RSGC View Apartmen akan jatuh sekiranya pembinaan tiang itu diteruskan.

Justeru, Ghazali menggesa Ekovest mengemukan laporan kajian penilaian kesan pembinaan sebelum meneruskan projek itu.