Pengguna LRT laluan Kelana Jaya terkandas lagi pagi tadi
Warga kota yang menggunakan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya sekali lagi mengalami gangguan perkhidmatan apabila sebuah tren mengalami masalah teknikal semasa berada antara stesen Kerinchi dan stesen Universiti pada pukul 8 pagi ini.
Bagaimanapun, gangguan perkhidmatan itu yang merupakan kali kedua selepas kejadian pertama pada Selasa lepas berjaya diatasi dengan kadar segera dan perkhidmatan kembali pulih pada pukul 8.22 pagi.
Tren yang mengalami kerosakan itu meneruskan perjalanan dengan perlahan menghala ke Putra Heights dengan kesemua penumpang diarah turun di stesen Kelana Jaya untuk bertukar tren dan meneruskan perjalanan.
Ketua Pegawai Operasi Laluan LRT Kelana Jaya Ismail Abdullah mengesahkan perkhidmatan di laluan itu terjejas disebabkan gangguan teknikal pada sebuah tren di antara stesen Kerinchi dan Universiti pada pukul 7.56 pagi.
"Terdapat masalah pada tiga komponen daya tujahan tren menyebabkan gangguan itu namun kakitangan kami telah menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh 22 minit.
"Tren yang rosak telah ditolak ke platform landasan simpanan tren dan perkhidmatan telah pulih seperti sedia kala pada pukul 8.22 pagi," katanya pada sidang media di Subang Jaya, hari ini.
Ismail berkata ketiga-tiga komponen elektronik itu akan dihantar ke Bombardier Hartasuma Consortium (BHC) untuk dibaik pulih.
Beliau berkata tren yang mengalami kerosakan itu telah digunakan sejak 1998 dan diselenggara mengikut jadual.
Menurutnya, 14 gerabak tren lagi sedang menunggu giliran untuk dibaik pulih kerana dikhuatiri boleh cetuskan gangguan perkhidmatan.
Beliau berkata kejadian hari ini melibatkan keselamatan kira-kira 150 penumpang dan keadaan adalah terkawal dan mereka dipindahkan ke gerabak tren lain.
"Kami meminta maaf kepada penumpang atas kesulitan. Kami sedang berusaha sedaya upaya bagi memastikan kemudahan dan keselamatan penumpang terjamin," katanya.
Menurut seorang pengguna Arifah Halim, 24, beliau terpaksa menunggu lama dan berasa tertekan apabila diarah keluar daripada tren di Stesen Kelana Jaya untuk menaiki tren yang lain.
"Kelewatan tren telah menyebabkan saya lewat sekali lagi ke tempat kerja hari ini selepas masalah sama berlaku minggu lepas.
"Saya harap pihak berkaitan segera menyelesaikan masalah ini supaya kejadian sama tidak berulang lagi kerana saya tiada pilihan lain untuk ke tempat kerja.
"Sekiranya saya menaiki Grab Car, bayarannya terlalu mahal kerana waktu puncak," katanya yang bekerja di Subang Jaya.
Pada 25 Sept lepas, gangguan perkhidmatan LRT Rapid KL laluan Kelana Jaya berlaku disebabkan masalah pada satu daripada komponen sistem semboyan yang mengawal isyarat pergerakan tren automatik di stesen LRT Damai.
- Bernama

