PRK PD | Saiful Bukhari Azlan yang bertanding sebagai calon bebas di pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson menyifatkan bekas majikannya, yang juga calon Pakatan Harapan (HARAPAN) sebagai "inspirasi".

Malah, Saiful mengakui bahawa beliau merupakan "anak murid" yang menerima didikan politik daripada Anwar.

"Pada saya, saya tak boleh nafi saya dapat didikan politik pun secara tak langsung daripada dia (Anwar).

"Jadi sepatutnya dia kena bangga dia punya anak murid boleh sampai ke tahap ini, dan bertanding lawan dia. Ilmu yang saya ada dari dia. Dia yang ajar, dia yang memberi inspirasi," katanya.

Saiful, yang kini berumur 33 tahun pernah bekerja di pejabat Anwar sehingga terlibat dengan kes liwat 2 pada 2008.

Selepas perbicaraan panjang di mahkamah, Anwar dimasukkan penjara pada Januari 2015.

Bagaimanapun, susulan pertukaran kerajaan pusat pada pilihan raya umum (PRU) ke-14, Anwar pada 16 Mei lalu dibebaskan melalui pengampunan diraja.

'Anwar tak ada kena-mengena di PD'

Mengulas lanjut, Saiful berkata, dia membuat keputusan mencabar Anwar kerana ingin menyampaikan mesej bahawa PRK berkenaan tidak seharusnya diadakan.

"Saya tidak dapat menerima bahawa PRK ini diadakan tanpa sebab kukuh. Bukan sebab kematian (penyandang).

"Kita baru saja lima bulan PRU dan kini PRK diadakan jelas untuk mengangkat agenda peribadi.

"Saya marah dan kesal dia menggunakan duit kerajaan (melalui Suruhanjaya Pilihan Raya) RM3.6 juta untuk adakan PRK ni. Jadi di mana moral dan maruah parti ini yang selama ini perjuangkan soal antipenyelewengan dan pembaziran?" katanya.

Saiful turut menyorot semula dan menyalahkan Anwar berhubung PRK Permatang Pauh pada 2008 dan PRK Kajang pada 2014.

Ayah kepada dua anak itu berkata, sekiranya Anwar bertanding di Permatang Pauh atau Pandan yang kini disandang masing-masing oleh anak dan isterinya, dia tidak akan bertanding di Port Dickson.

"Rakyat di sana boleh terima dia. Tapi di Port Dickson ini lain, Anwar tak ada kena mengena," katanya.

PRK Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan kembali ke parlimen sekiranya menang.