Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersih jawab Najib: Laporan polis dibuat SPR
Diterbitkan:  Oct 2, 2018 6:44 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

Bukan BERSIH yang membuat laporan polis mengenai dakwaan kesalahan pilihan raya pada PRK Sungai Kandis, sebaliknya, laporan polis itu dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata pergerakan reformasi pilihanraya itu.

BERSIH berkata demikian sebagai menjawab kenyataan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut BERSIH, pertubuhan itu cuma membuat aduan kepada SPR mengenai dakwaan Najib berkempen ketika hari mengundi pada PRK Sungai Kandis.

"Kemudian, SPR yang membuat laporan polis mengenai kes berkenaan, yang kami percaya membawa kepada siasatan terhadap Najib," maklum BERSIH lagi.

Terdahulu hari ini, Najib mempersoalkan jika BERSIH hanya menyasarkan dirinya sahaja dan tidak membuat laporan polis yang sama terhadap PKR mengenai dakwaan kesalahan pilihan raya dalam pilihan raya kecil itu.

Kempen pada hari mengundi

Ini susulan kenyataan polis yang berkata akan memanggil Najib untuk disoal siasat mengenai gesaan beliau di media sosial supaya pengundi memilih calon Umno pada hari pengundian.

Berdasarkan Seksyen 26 (1) (a) dan (f) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkempen pada hari mengundi merupakan suatu kesalahan pilihan raya.

Bagaimanapun, BERSIH menjelaskan telah memfailkan aduan kepada SPR mengenai semua kesalahan pilihan raya oleh kedua-dua Umno dan PKR.

"Terserah kepada SPR untuk mempertimbangkan langkah-langkah yang sewajarnya sebagai institusi yang diberi kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengambil tindakan sewajarnya mengenai kesalahan pilihan raya.

"BERSIH mengalu-alukan tindakan SPR dan polis kerana ini menetapkan duluan (precedent) baru mengenai tindakan terhadap kesalahan pilihan raya, yang telah banyak diabaikan dengan sewenang-wenangnya di bawah pemerintahan BN pada masa lalu," katanya.

Lihat Komen
ADS