Najib: Man U kalah pun salahkan saya?
Dalam pelbagai pertuduhan mahkamah yang sedang dihadapi, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini tampil menunjukkan kebolehannya memparodikan situasinya.
Dalam kenyataan di Twitter, Najib berkata, dia kini menjadi sasaran untuk disalahkan atas segala macam hal, termasuklah kekalahan pasukan bola sepak Inggeris yang disokongnya.
"Macam-macam tuduhan liar kebelakangan ini. Senanglah kerja semua orang guna modal 'semua salah Najib'.
"Harga tak turun? Salah Najib. Manchester United kalah? Salah Najib. Esok kalau hujan (dan anda) lewat masuk kerja? Salah Najib," katanya.
Kenyataan itu dibuat selepas tertuduh dalam kes pembunuhan Kevin Morais mendakwa Najib menawarkan RM3.5 juta untuk mengaku bersalah. Najib menyifatkan tuduhan itu sebagai "karut".
Manchester United, yang merupakan kelab bola sepak Inggeris kegemaran bekas presiden Umno itu, kalah 1-3 dalam perlawanan menentang West Ham United 29 Sept lalu dan berada di tangga ke-10 liga ketika ini.


