Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Datin Seri Rosmah Mansor tiba di pekarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebentar tadi.

Isteri kepada Datuk Seri Najib Razak itu hadir untuk membantu siasatan badan antirasuah berkenaan terhadap skandal yang dikaitkan dengan firma pelaburan 1MDB.

Mengenakan baju kurung hijau muda Rosmah sampai ke kawasan berkenaan kira-kira jam 10.40 pagi menaiki Proton Perdana hitam.

Tidak ketinggalan beliau membawa beg tangan dan satu sampul surat.

Peguamnya, Datuk K Kumaraendran juga dilihat memasuki bangunan pejabat SPRM.

Ini adalah kali ketiga Rosmah diminta datang ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya itu untuk disoal siasat.

Kali terakhir beliau hadir, proses berkenaan berlanjutan sehingga 13 jam.

Untuk rekod Najib juga dilaporkan diarah hadir untuk bertemu pegawai Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada jam 10 pagi hari ini.

Semalam seorang sumber yang dekat dengan Rosmah memberitahu Malaysiakini, seorang lagi peguam yang bertindak untuk isteri bekas perdana menteri itu menerima panggilan daripada SPRM kira-kira jam 6 petang.

Melalui panggilan itu katanya Rosmah dikehendaki hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada jam 11 pagi ini.

Kata sumber terbabit ada kemungkinan kedatangan Rosmah hari ini adalah untuk soal siasat terakhir dan ada kemungkinan tokoh yang dikenali ramai itu akan ditahan.

Sebelum ini ada pihak membayangkan Rosmah akan dihadapkan ke mahkamah dengan 20 tuduhan.

[Berita lanjut menyusul]

Lihat Komen
ADS