Hadi temui duta AS dengan jati diri Islam dan Melayu
Jelas merendah diri dengan mengakui tidak fasih berbahasa Inggeris serta hanya layak mengetuai sebuah "parti pak lebai" Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menceritakan pertemuannya dengan Duta AS, Kamala Shirin Lakhdhir kelmarin.
Kata Abdul Hadi walaupun begitu pertemuan berkenaan tetap berlangsung dengan baik dan kedua-dua pihak berjaya menyentuh isu-isu penting termasuk Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang melibatkan pelaburan China.
Tegasnya, beliau bersetuju projek ECRL perlu diteruskan sekiranya memberi keuntungan yang adil kepada Malaysia, bukan kepada China semata-mata.
Kata Abdul Hadi Islam memang menggalakkan hubungan adil dan damai dengan semua pihak.
“Begitu juga peluang pekerjaan dan pemindahan teknologi supaya (mana-mana pihak) jangan bakhil teknologi. Inilah cara bermasyarakat madani yang diajar oleh Islam.
“Maka Malaysia juga tidak terikat boleh mengadakan kerjasama yang adil dengan semua, sama ada timur atau barat,” katanya dalam satu hantaran yang dikongsi di akaun Twitter peribadinya.
Pertemuan itu berlangsung di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Kamala Shirin dilantik sebagai duta besar AS ke Malaysia sejak Jun 2016.
Sejak Pakatan Harapan (HARAPAN) menguasai Putrajaya selepas 9 Mei lalu beliau melakukan beberapa kunjungan hormat terhadap tokoh penting negara.
AS tersilap pilih pemimpin
Sebelum Abdul Hadi, Kamala Shirin sudah bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertahanan yang juga bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu.
Dalam hantaran sama, Abdul Hadi turut mengimbau krisis ekonomi dunia yang melanda pada 1997 dan PAS tetap menyokong keputusan perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menolak bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Kata anggota parlimen Marang itu, PAS bersikap menyokong Dr Mahathir walaupun mereka pembangkang.

“Kita lihat kini, negara yang bergantung kepada IMF walaupun dikatakan maju ekonominya tetapi dijajah secara ekonomi oleh negara yang menjadi imam kepada IMF.
“Pelabur tempatan tidak mampu menyaingi kalangan pelabur gergasi,” tambahnya.
Namun, beliau menyerahkan pertimbangan isu ekonomi kepada ahli ekonomi yang lebih pakar dengan pengetahuan yang lebih terkini.
“Cukup bagi saya mengambil pengalaman daripada negara besar seperti Amerika yang tersilap memilih pemimpinnya yang disaksikan terkini,” katanya.
Melalui kenyataan itu juga Abdul Hadi sempat menyelitkan mesej bahawa beliau bertemu Kamala Shirin dengan jati diri Islam dan Melayu.
Tidak ketinggalan, kata Abdul Hadi, beliau hadir dengan berpandukan ilmu ekonomi asasi yang dicerap daripada kitab ilmuan Islam seperti Muqaddimah karangan Ibnu Khaldun.
"Namun saya membaca kitab asalnya, tidak seperti orang yang membaca tajuknya sahaja, laksana burung kakak tua yang petah bercakap bahasa manusia," katanya.

