Kes saman RM250 juta isu tanah Felda - hakim tarik diri
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Aliza Sulaiman hari ini menarik diri daripada mendengar kes saman fitnah RM250 juta syarikat pemaju hartanah dan kontraktor binaan, Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) terhadap syarikat akhbar, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).
Beliau bertindak demikian atas alasan dirinya mengenali salah satu pihak yang terbabit itu.
Ini didedahkan oleh peguam Datuk Prem Ramachandran yang mewakili SPSB dan peguam M Rueben yang mewakili NSTP yang berkata Aliza kemudian mengarahkan supaya fail kes saman berkenaan dihantar semula kepada timbalan pendaftar bagi menentukan hakim baru.
"Hakim berkenaan berkata, beliau mengenali Datuk Marina dan beliau beberapa kali menghadiri majlis dan memberi nasihat berhubung kontrak berkenaan sebelum itu.
"Oleh itu, hakim berkata adalah tidak sesuai bagi beliau untuk membuat keputusan berhubung kes berkenaan,” kata Rueben.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada pengurusan kes itu hari ini di dalam kamar Aliza.
Sementara itu, Prem berkata kes berkenaan akan didengar oleh hakim lain, namun tarikh untuk pengurusan kes selanjutnya akan ditetapkan kemudian.
Pada 20 Jun lalu, SPSB selaku plaintif menyaman NSTP dan wartawan Che Wan Badrul Alias selaku defendan atas dakwaan menerbitkan enam artikel berunsur fitnah dalam akhbar Berita Harian antara 21 Dis 2017 hingga 9 Feb 2018 mengenai syarikat itu, mengakibatkan SPSB mengalami kerugian kerana kehilangan projek-projek nilai tinggi yang diusahakannya.
Dalam pernyataan tuntutan, SPSB mendakwa laporan dan artikel dalam akhbar itu telah dimuat naik dalam laman web NSTP di https://www.bharian.com.my dan akibat daripada tindak-tanduk kedua-dua defendan laporan dan artikel itu telah tular ke media massa yang lain.
Dakwa SPSB, laporan itu ditulis dengan tidak beretika dan gagal mematuhi nilai-nilai kewartawanan yang adil antara lain membuat dakwaan terhadap syarikat berkenaan bahawa ia secara salah memindahkan aset-aset milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sehingga menjejaskan Felda.
Oleh itu, SPSB memohon perintah injunksi untuk menghalang kedua-dua defendan atau pekerjanya atau ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah itu selain menuntut ganti rugi berjumlah RM250 juta serta permohonan maaf mengikut terma yang ditetapkan oleh syarikat.
NSTP dalam pembelaan yang difailkan pada 25 Julai lepas mendakwa artikel-artikel berkenaan tidak memfitnah dan tidak ada kena-mengena dengan syarikat itu tetapi secara eksklusif menyentuh isu-isu kepentingan awam.
Dakwa kedua-dua defendan, artikel-artikel itu ditulis dengan cara yang adil dan bertanggungjawab.

