Trend keluar undi merosot, PKR dukung usaha NGO
PKR berkata mereka sedang berusaha memastikan peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kecil Port Dickson meningkat.
Selain usaha sendiri, mereka turut mendukung usaha calon lain, orang awam serta NGO yang berusaha menggalakkan pengundi luar pulang mengundi pada 13 Oktober ini.
“Saya hanya mahu katakan, usaha mengetengkan dan menekankan kepentingan pilihan raya kecil ini kepada pengundi Port Dickson adalah sangat digalakkan dan ia demi kepentingan demokrasi,” kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.
Dalam kesemua pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu, terdapat trend kemerosotan peratusan keluar mengundi yang ketara.
Jika berterusan di Port Dickson, ia tidak akan memberi imej yang baik kepada calon PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dicanang-canangkan sebagai bakal pengganti Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sementara itu, dalam sidang media di parlimen itu pagi ini, Fahmi berkata jumlah pengundi luar mungkin mencecah angka lebih 30 peratus.
Pilihan raya itu diadakan setelah penyandangnya meletakkan jawatan bagi membolehkan Anwar bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

