Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LGBT bukan cagaran untuk agenda politik, kata LFL
Diterbitkan:  Oct 3, 2018 2:20 PM
Dikemaskini: 6:22 AM

Lawyers For Liberty (LFL) menyelar kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa “tidak masuk akal” untuk memaksa orang ramai menerima gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Kata kumpulan pendesak hak asasi manusia itu kenyataan tersebut menunjukkan rasa bimbang dan takut yang sama Pakatan Harapan (HARAPAN) dengan pemimpin BN sebelum ini.

“Malangnya Anwar menggunakan komuniti LGBT sebagai bahan agenda politiknya, ia memberi reaksi kepada taktik menakut-nakutkan orang ramai yang sering digunakan pemerintah lama (BN).

“Bukan sahaja beliau menghina dan menolak secara terbuka permintaan kumpulan LGBT agar mereka diterima, Anwar juga mengajak masyarakat untuk menolak mereka daripada mendapat hak bersuara sebagai warganegara.

“Kata-kata Anwar hanya membangkitkan kebencian terhadap komuniti LGBT,” kata penyelaras LFL, Zaid Malek, dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, sangat mengarut untuk mana-mana individu mendakwa orang ramai dipaksa menerima gaya hidup komuniti LGBT.

Malah Zaid bertanya, bilakah masyarakat dipaksa untuk menerima gaya hidup kumpulan terbabit.

Minggu lalu, Anwar menegaskan sekali lagi bahawa tiada tempat untuk gerakan LGBT di Malaysia.

Kata ketua umum HARAPAN itu ada prinsip tertentu dalam negara ini yang harus dihormati oleh semua rakyatnya walaupun berbeza bangsa dan agama.

"Baik dalam kalangan orang Islam, Kristian, Hindu dan Buddha semua berpakat dalam pendirian yang sama," katanya.

Sementara itu, Zaid berkata sebagai seorang Melayu dan Islam, sangat “janggal” apabila Anwar berkata identiti agama dan bangsa akan terancam semata-mata kerana seseorang itu mempunyai perbezaan kepercayaan dan identiti berbeza.

“Tuntutan komuniti LGBT ialah untuk kesaksamaan dan keadilan untuk semua, tuntutan yang sama juga dibuat ketika Anwar menjadi sasaran dan dianiaya lawan politiknya.

“Sebenarnya, Anwar sepatutnya bersimpati dengan komuniti yang terpinggir dan diburu ini,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS