Bekas anggota parlimen Padang Serai daripada PKR N Surendran masih hidup dan sihat walafiat - seperti yang disahkan oleh beliau sendiri.
Surendran terpaksa menafikan khabar angin tentang kematiannya sendiri hari ini selepas ia tersebar di media sosial bahawa beliau ditemui mati di rumahnya sendiri.
Dalam kenyataan media pagi tadi, beliau yang juga peguam dan penasihat Lawyers for Liberty (LFL) berkata beliau bukan saja "masih hidup dan sihat", malah sibuk bekerja sepanjang pagi ini.
Beliau juga menyatakan kebingungannya bagaimana atau mengapa maklumat palsu itu boleh tersebar, dan terpanggil untuk mengeluarkan kenyataan untuk mengelakkan kejutan atau kebimbangan terhadap dirinya.
"Ada laporan yang tersebar pagi ini bahawa saya ditemui mati di rumah saya.
"Saya dan rakan-rakan menerima banyak panggilan pagi ini yang bertanya sama ada ia benar.
"Maka saya berada dalam kedudukan yang sangat janggal dengan menafikan kematian sendiri. Saya masih hidup dan sihat, dan berada di firma guaman saya sepanjang pagi," katanya lagi.
