Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini merasmikan Program Cakna Mangsa Tsunami Sulawesi di Lukut, Port Dickson.

Dr Wan Azizah yang tiba di Lukut sekitar jam 4.15 petang itu turut melancarkan tabung bantuan kemanusiaan #PeduliGempaSulawesi.

Menurut Dr Wan Azizah yang juga presiden Pakatan Harapan, tabung tersebut diwujudkan bagi membantu mangsa kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda Palu dan Donggala Sulawesi Tengah, Indonesia, pada Sabtu lalu.

Selain itu, Dr Wan Azizah dalam ucapannya turut berkata kerajaan telah bersetuju menggunakan sedikit peruntukan daripada Tabung Bencana Negara serta tambahan RM500,000 untuk membantu ribuan mangsa  terjejas akibat bencana berkenaan.

Tambah Dr Wan Azizah, beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kabinet berhubung hasrat itu pagi tadi.

"Kalau badan bukan kerajaan (NGO) perlukan bantuan logistik kita akan salurkan sikit daripada Tabung Bencana Negara.

"Walaupun tabung itu sepatutnya digunakan untuk bencana dalam negara, kita boleh longgarkan sikit seperti diberitahu perdana menteri dalam mesyuarat kabinet pagi tadi untuk kita gunakan," katanya.

Hadir sama isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Wan Hasni Wan Yusof, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang penggal yang lalu, Datuk Law Choo Kiang dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah yang juga menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat berkata, Malaysia bersedia untuk menghulurkan sebarang bantuan yang diperlukan oleh Indonesia yang sedang berhadapan keadaan yang sukar ini.

"Saya difahamkan angka kematian setakat ini seramai 1,407 orang dan berkemungkinan terus meningkat apabila ditemui di bawah timbunan runtuhan.

"Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula melaporkan hampir 200,000 mangsa terjejas dan puluhan ribu mangsa adalah kanak-kanak," katanya.

Isnin lalu, Dr Wan Azizah mengumumkan Malaysia akan menyalurkan bantuan kewangan RM500,000 kepada mangsa gempa bumi dan tsunami di Sulawesi selepas perbualan telefon dengan Naib Presiden Indonesia, Jusof Kalla.