Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mat Sabu: Jika MP PD jadi PM, kebajikan pesara tentera lebih terjaga

PRK PD | Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata kebajikan tentera akan lebih terjamin sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim terpilih sebagai anggota parlimen dan seterusnya menjadi perdana menteri.

Mohamad berkata demikian dalam majlis penganugerahan pingat pesara tentera di Muzium Tentera Port Dickson yang turut menyaksikan penampilan mengejut Anwar yang merupakan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson.

"Anggota parlimen Port Dickson, kalau dipilih jadi perdana menteri, sudah tentulah segala bentuk keluhan dan kebajikan (tentera dan pesara tentera) akan cuba diselesaikan dan ditingkatkan.

"Kita tidak janji tempayan emas, kita tidak dapat janji hati nyamuk," katanya.

Ketika ditanya pemberita selepas itu, Mohamad menafikan berkempen untuk Anwar dengan menggunakan sumber kerajaan dan jawatannya sebagai menteri pertahanan.

"Tapi saya akan kempen untuk Anwar di ceramah malam ini," kata Mohamad yang juga merupakan Presiden AMANAH.

Terdahulu, Anwar juga menafikan kehadirannya sebagai berkempen di Muzium Tentera berkenaan kerana, jelasnya, ia dihadiri pesara tentera dari seluruh negara dan bukannya pengundi Port Dickson.

Sementara itu, Mohamad berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memutuskan sama ada peruntukan RM500,000 yang diberikan kepada Kem Tentera Port Dickson untuk membaiki rumah dianggap sebagai rasuah.

Jelas Mohamad, peruntukan itu diberikan sebelum PRK lagi.

Menteri pertahanan itu sebelum ini mengumumkan peruntukan RM500,000 kepada Kem Tentera Port Dickson.

Ia kemudian mendapat pelbagai kritikan yang menyifatkan peruntukan berkenaan sebagai rasuah.

 

Lihat Komen
ADS