GLOBAL | Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi menjadi individu pertama dilucutkan kerakyatan kehormat Kanada susulan keengganannya mengecam kekejaman tentera negara itu terhadap masyarakat minoriti Islam Rohingya.

Tindakan itu dimuktamadkan secara rasmi selepas Senat Kanada mengundi membatalkan penghormatan simbolik yang diberikan pada Suu Kyi, lapor agensi AFP.

Suu Kyi mendapat keistimewaan itu pada 2007, namun reputasi antarabangsanya terjejas akibat keenggananya menggesa tentera Myanmar menyelesaikanisu yang dihadapi etnik Rohingya.

Parlimen Kanada sudah meluluskan usul sama minggu lalu.

Anggota parlimen Kanada dalam resolusi yang diluluskan bulan lalu menyifatkan keganasan terhadap etnik minoriti itu sebagai pengapusan etnik secara sengaja.

Kumpulan etnik Rohingya dilayan sebagai orang asing di Myanmar, sebuah negara dengan lebih 90 peratus penduduk beragama Buddha.

Kanada hanya memberi kerakyatan kehormat kepada lima individu termasuk pejuang hak asasi Nelson Mandela, pemimpin Tibet yang dipinggirkan, Dalai Lama dan pemenang Hadiah Nobel Malala Yousafzai.

Kempen ketenteraan Myanmar sejak Ogos tahun lalu menyaksikan lebih 700,00 Muslim Rohingya menjadi pelarian di Bangladesh.

Sehingga kini, mereka bimbang kembali walaupun persetujuan untuk kepulangan mereka telah dicapai.

Minggu lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut membangkitkan perkara itu dalam ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan PBB.

Dr Mahathir mengecam kerajaan Myanmar dan berkata Malaysia tidak akan lagi menyokong Suu Kyi.

Suu Kyi yang menerima anugerah nobel 1991 itu mendapat kritikan hebat berhubung kekejaman tentara Myanmar terhadap minoriti Muslim Rohingya.

Setakat ini, lima anugerah yang diterima Suu Kyi sebagai tokoh prodemokrasi dan hak asasi manusia telah ditarik balik, antaranya Anugerah kehormat Sekolah Ekonomi London (LSE) dan kedudukan sebagai anggota kehormat Unison - kesatuan sekerja kedua terbesar di United Kingdom.