K'jaan negeri NS digesa sedia infrastruktur yang betul
K'jaan negeri NS digesa sedia infrastruktur yang betul
Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan negeri Negeri Sembilan memperuntukkan dana yang mencukupi bagi mempermudahkan naik taraf infrastruktur dan penyelenggaran kemudahan di kawasan perindustrian.
Presidennya, Datuk Soh Thian Lai, berkata bekalan kemudahan asas seperti air, elektrik, telekomunikasi dan infrastruktur jalan adalah penting bagi menarik pelaburan.
“Kekurangan infrastruktur yang betul dan diselenggara dengan baik selain kemudahan asas menjejaskan kecekapan operasi dan menambah kos dalam menjalankan perniagaan.
“Sektor perkilangan, terutama industri berteknologi tinggi, juga perlu mempunyai akses kepada hubungan internet yang berkualiti dan dimampui,” katanya berucap pada majlis makan malam FMM Negeri Sembilan di Seremban, malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan, Dr Mohamad Rafie Ab Malek dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik.
Soh juga mahukan kerajaan negeri menggunakan pengaruhnya dalam memastikan syarikat telekomunikasi menyediakan akses internet dan telekomunikasi yang berkualiti dan dimampui di semua kawasan perindustrian di Negeri Sembilan.
“Kami difahamkan daripada ahli (FMM) bahawa kawasan Taman Perindustrian Arab Malaysian dan Sendayan kekurangan akses internet dan dalam kes di Sendayan, talian telefon asas juga tidak ada,” katanya.
- Bernama

