Ketika mangsa gempa di Sulawesi bergelut untuk meneruskan kehidupan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia mula tiba menghulurkan bantuan selepas lima hari kepulauan Indonesia itu diuji bencana gempa dan tsunami.

Pasukan Tindakan dan Kebajikan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) misalnya membuka klinik bergerak kira-kira 30 minit dari pusat gempa di daerah Palu.

Menjadi tim sukarelawan perubatan pertama Malaysia yang tiba di Ground Zero pagi Rabu, pasukan tiga anggota termasuk dua doktor itu, terus membuka klinik bergerak bagi merawat mangsa dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI).

Difahamkan, sepasukan sukarelawan Mercy Malaysia pula dalam perjalanan ke Donggala yang turut terjejas, manakala pasukan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) juga sedang menuju ke Palu.

Ketua misi IMARET, Ahmad Rashidi Mohamed Tahir menggambarkan situasi di Ground Zero di Palu masih kritikal walaupun telah masuk hari keenam pasca gempa.

"Kawasan Petobo terbenam oleh tanah lumpur sehingga mangsa turut tertimbus. Posko (pos kesihatan) dilihat di kawasan terjejas tetapi masih tak mencukupi kerana hospital ada yang ranap dan musnah.

"Bekalan air bersih terhad untuk kegunaan harian. Kenderaan tidak berfungsi penuh kerana kekurangan bekalan minyak,” katanya ketika dihubungi di Palu, Rabu malam.

Jumaat lalu, gempa bumi dengan kekuatan 7.5 pada skala Richter berpusat di Palu, Sulawesi Tengah, menyebabkan kemusnahan harta benda serta ratusan ribu mangsa terjejas.

Gempa bumi disusuli tsunami sehingga enam meter yang menjejaskan Palu dan Donggala itu menyebabkan lebih 1,200 mangsa terkorban manakala lebih 50,000 orang hilang tempat tinggal.

Laporan media mengatakan lebih 200,000 mangsa gempa memerlukan bantuan kecemasan segera.

Ahmad Rashidi berkata kes kecurian masih berlaku kerana bekalan asas tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk yang terjejas.

"Lapangan terbang sudah dibuka untuk pesawat komersil, dan dilihat banyak barang bantuan sudah mulai tiba di lapangan terbang,” katanya.

Majoriti NGO Malaysia mula bergerak ke Palu dan Donggala sejak beberapa hari lepas, bagaimanapun masalah kesukaran "akses" laluan darat dan udara yang terjejas membantutkan keadaan.

Malaysia menghantar misi bantuan kemanusiaan secara formal pada malam ini dengan pesawat pengangkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijadualkan berlepas dari Pangkalan Udara Subang.

Koordinator IMARET, Dr Ahmad Munawar Helmi berkata pihaknya menyasarkan kutipan dana RM300,000 untuk disalurkan kepada mangsa gempa dan tsunami Sulawesi dalam bentuk bantuan kecemasan segera, kelengkapan perubatan dan bantuan WASH (air, sanitasi dan keperluan kebersihan).

Sumbangan boleh disalurkan kepada akaun CIMB Persatuan Perubatan Islam Malaysia: 8600703709 dengan rujukan label "Sulawesi."

- Bernama