Dr M sokong media alternatif
Terjemahan Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan sokongannya kepada media internet dan alternatif sambil menyeru pihak akhbar supaya bangkit menegakkan kebenaran.
Terjemahan Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan sokongannya kepada media internet dan alternatif sambil menyeru pihak akhbar supaya bangkit menegakkan kebenaran.
Beliau yang sebelum ini pernah menyifatkan media internet dan alternatif sebagai pengkhianat negara menegaskan, media massa mesti bergerak secara bebas dan tidak terikat dengan mana-mana kuasa.
"Akhbar mesti memperjuangkan kebenaran. Media massa mesti menjadi rakan aktif dalam memperjuangkan kedamaian global," ktanya ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 peserta Forum Keamanann Global di ibunegara.
Katanya, internet mesti digunakan sepenuhnya bagi mewujudkan media alternatif yang mampu mendedahkan penipuan dan penyelewengan. Semua maklumat ini mesti dimuat-turun dan disebarkan," ujarnya.
Dalam ucapannya selama kira-kira sejam, Dr Mahathir berkata, gerakan pro-kedamaian perlukan kerjasama pihak akhbar untuk menerbit atau melaporkan bantahan mereka terhadap peperangan, kezaliman dan mendedahkan pemimpin dan kerajaan yang bertanggungjawab mencetuskan peperangan.
Sebelum ini, selama 22 tahun pemerintahannya, bekas Perdana Menteri itu berulang kali mengkritik aktivis media tempatan yang lantang mengecam dasar dan undang-undang media negara ini yang menyekat kebabasan akhbar.
Pada Mac 2001, beliau melabel media internet, malaysiakini sebagai pengkhianat kerana dibiayai oleh dana asing.
"Mereka ini ( malaysiakini ) adalah pengkhianat dan rakyat Malaysia yang cintakan negara ini tidak sepatutnya menyokong malaysiakini ," tegasnya.
Forum tiga hari di Pusat Dagangan Dunia Putra itu dianjurkan oleh Yayasan Kepimpinan Perdana. Forum itu dipengerusikan oleh Dr Mahathir dan dihadiri peserta daripada 25 negara.
Sekretariat tetap
Beliau juga mengesyorkan supaya ditubuhkan sebuah seketariat tetap yang mempunyai pekerja tetap dan sukarela untuk mempromosi keamanan sejagat.
Katanya lagi, forum keamanan seperti ini perlu disusuli dengan penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-keamanan yang baru di seluruh dunia.
Pertubuhan-pertubuhan baru ini kemudianya hendaklah menjalin hubungan dengan NGO-NGO lain yang serupa tetapi sudah lama bergerak.
Dr Mahathir juga menggesa digembeleng satu tindakan bersama di seluruh dunia untuk memperjuangkan keamanan terutamanya di negara-negara yang dilanda peperangan atau konflik.
Katanya, wanita dan kanak-kanak yang lantang menentang peperangan wajar dimobilisasi dan disatukan untuk mempromosi keamanan.
Beliau juga menyeru para saintis supaya bangkit menentang peperangan dengan tidak menjalankan penyelidikan memajukan dan mengeluarkan senjata pemusnah .
Pada masa yang sama, katanya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu "didemokrasikan" bagi membolehkannya menjalankan peranan asalnya.
"Kuasa veto yang ada pada lima anggota tetap mesti diubahsuai supaya tiada satu negara boleh mengecewakan seluruh pertubuhan dunia itu. Akhir sekali kuasa veto itu mesti dihapuskan dan demokrasi dunia diwujudkan," katanya.
Forum ini turut dihadiri beberapa pemimpin terkemuka seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe dan bekas Perdana Menteri Australia, Bob Hawke.

