Isa Samad, Saiful ziarah keluarga arwah anggota bomba
Calon bebas Port Dickson Tan Sri Isa Samad dan Mohd Saiful Bukhari Azlan menziarahi keluarga salah seorang anggota bomba yang maut dalam dalam operasi mencari dan menyelamat di lombong di Puchong, Selangor.
Mereka hadir serentak di Taman Wawasan Jaya, tidak jauh dari lokasi kematian, kira-kira jam 10 pagi bertemu ahli keluarga mangsa, Adnan Othman, 33.
Menurut Isa, beliau amat mengenali bapa mangsa yang merupakan rakan lamanya.
"Saya terima khabar berita malam tadi, yang salah seorang mangsa terlibat adalah anak kepada kawan lama saya.
"Hari ini saya datang ziarah dan ucap takziah buat keluarga arwah semoga reda dengan ketentuan Ilahi," katanya.
Menurut Mohd Saiful, beliau menerima perkhabaran duka ini malam tadi.
Mangsa, katanya, adalah penduduk Lukut.
Beliau menyifatkan arwah yang meninggal dunia dalam tugas sebagai syahid.
"Saya yakin syahid baginya. Orang ini syahid," katanya.
Saiful yang mendoakan agar keluarga mangsa tabah menerima dugaan turut menyumbangkan sedikit wang hasil tabung kempennya kepada keluarga mangsa.
Sementara itu, salah seorang anggota keluarga mangsa memaklumkan jenazah akan tiba di kediamannya sekitar jam 11.50 pagi dan akan dikebumikan selepas Zohor di Tanah Perkuburan Islam Makam Raja Jumaat, Lukut.
Dalam hujan lebat, suasana pilu menyelubungi kediaman arwah. Lebih 200 orang anggota keluarga dan sahabat handai hadir bagi mengiringi perjalanan terakhir arwah.
Dalam kejadian pada pukul 9 malam tadi, enam anggota dilaporkan lemas akibat dibawa arus deras.
Anggota terbabit, Mohd Fatah Hashim, 34; Izzatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omar Baki, 25 dan Yahya Ali, 24 dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang.
Dua lagi anggota bomba yang meninggal dunia dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

